PETALING JAYA: Pelakon, Azah Aziz menyifatkan kesabaran yang tinggi dan saling percaya menjadi kunci utama rumah tangganya bersama suami kekal utuh sehingga kini.
Genap 30 tahun melayari rumah tangga bersama lelaki berasal dari Perancis, Daud Leroy Abdullah, Azah memberitahu dia tidak meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap suaminya kerana enggan berdepan dengan perasaan kecewa suatu hari nanti.
“Kita kena cari kebahagiaan sendiri dan banyak bersabar. Tetapi, saya tidak bagi 100 peratus kepercayaan kepada suami saya. Lelaki kalau kita bagi sepenuhnya kepercayaan itu, dia akan ‘serong’ (hanyut) juga.
“Jadi, kita kena periksa juga masa ke masa, mana dia pergi. Macam saya, saya selalu buat panggilan video untuk periksa keberadaan suami saya setiap hari,” jelasnya.
Perkara itu dikongsikan oleh Azah ketika ditemui Gempak di majlis tayangan perdana dan sidang media drama Ternyata Sebuah Bahagia di GSC Mid Valley Megamall, baru-baru ini.
Tambah Azah, dia juga tidak gemar mengambil masa yang terlalu lama sekiranya berdepan dengan sebarang pertelingkahan dan salah faham bersama suaminya.
Malah, model terkenal era tahun 90-an itu akan menyelesaikan segala konflik dengan segera kerana tidak mahu ada isu berbangkit.
“Kalau kami gaduh, kami akan cuba selesaikan masalah itu pada hari itu juga. Kami tidak akan sambung sehingga esok hari. Jadi, segala pergaduhan yang berlaku semalam, kami terus lupakan.
“Komunikasi antara satu sama lain juga sangat penting,” jelasnya.
Untuk info, Azah dan Daud Leroy Abdullah telah mendirikan rumah tangga pada 7 Januari 1995 dan berhijrah ke Montreal, Kanada.
Hasil perkongsian tersebut, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, Aaron, 27, Ryan, 21 dan Justin, 18.