KUALA LUMPUR : Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 39, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila bekas suaminya, Syamsul Yusof, 40, telah kembali ke pangkuan keluarga untuk bertemu kedua orang tuanya, semalam.
Menurut Sarah, meskipun dia sudah tidak lagi bersama Syamsul namun sudah tentu selama ini dia juga mendoakan agar Syamsul pulang semula ke rumah bekas mentuanya yang telah lama merindui anak mereka itu.
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Saya turut gembira apabila mentua pun gembira
“Biarpun saya sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan Syamsul, saya tumpang gembira apabila dia akhirnya pulang ke rumah untuk berjumpa dengan Papa (Datuk) dan Mama (Datin). Apatah lagi, mereka sudah bertahun tak jumpa dengan Syamsul,”katanya.
Jelas Sarah, Syamsul sendiri yang membuat keputusan untuk bertemu dengan ibu dan bapanya itu tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Sebenarnya, Syamsul sendiri yang nak jumpa mereka. Cuma saya sampai lambat sebab ada acara pada petang itu.
“Saya pulang ke rumah dahulu ambil anak-anak dan bawa sekali jumpa datuk dan nenek mereka sebelum kami ke Vietnam untuk bercuti. Apa pun, semuanya sudah selesai,” katanya.
Menurutnya lagi, keberadaannya pada pertemuan itu tidak ada maksud atau niat lain seperti yang didakwa warganet yang merujuk kepada hasrat untuk kembali bersama Syamsul.
“Ingin dijelaskan, sehingga detik ini saya tidak terfikir ingin kembali pada Syamsul. Saya sudah ada kehidupan sendiri dan bahagia dengan pilihan sebegini.
“Sekarang ini, saya mahu tenang-tenang saja di samping membesarkan anak-anak dan fokus pada kerjaya,” katanya.