KUALA LUMPUR : Meskipun pementasan teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) dan teater Dang Anum (The Untold Story) (DATUS) bakal dilakukan kurang dua minggu sahaja lagi, Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) bagaimanapun terpaksa menggugurkan pelakon, Zalif Sidek.
Menurut pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari, keputusan itu terpaksa dilakukan demi memastikan kelangsungan dan perjalanan dua teater yang masih dalam proses latihan.
Menurut Amirul, pihaknya telah memberi peluang kepada pelakon itu kerana percaya pada bakatnya namun atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, dia diganti dengan pelakon lain.
“Sebelum ini kami menawarkan pelakon itu untuk dua judul teater yakni Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) dan teater Dang Anum (The Untold Story) (DATUS).
“Peluang itu ditawarkan atas dasar kepercayaan sebagai seorang rakan dan dia sendiri beberapa kali beritahu mahu menimba pengalaman bermain di pentas teater,”katanya.
Berikutan daripada itu, Amirul telah menghubungi pelakon itu kelmarin dan dia menerima keputusan pengguguran itu dengan hati terbuka.
“Sebelum ini, kami telah membawa nama Zalif ke peringkat pengurusan Perbadanan Putrajaya dan dipersetujui untuk menjadi salah seorang artis terlibat dalam CAM.
“Begitu juga untuk DATUS, kami telah melakukan sesi fotografi untuk poster promosi selain beberapa kali latihan bersama,”katanya.
Tambah Amirul lagi, dia enggan berkongsi sebab utama pengguguran Zalif sebaliknya menganggap sebagai ‘tiada rezeki’ untuk bekerjasama pada masa ini.
Disoal mengenai siapa yang bakal membawakan watak Zalif dalam DATUS, Amirul berkata, posisi itu akan digantikan dengan Aman Salleh, pempengaruh Tiktok yang juga pelakon komedi sedang meningkat naik yang bakatnya dicungkil dari program Awesome Raja Lawak.
Manakala penyampai radio HotFM, AG Hafiz pula bakal menggantikannya dalam Teater Cinta Ahmad Mutawakkil.
The Redholah bakal mementaskan dua judul teater yakni Cinta Ahmad Mutawakkil pada 20 sehingga 22 September terbitan Perbadanan Putrajaya bersempena Festival Budaya Putrajaya dan Dang Anum (The Untold Story) terbitan The Redholah pada 27 sehingga 29 September 2024.
Antara pelakon terlibat adalah Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andre Feyarts, Adam Shahz, Along Eyzendy, AG Hafiz dan Ain Sufia.
Kedua-dua judul itu bakal dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.