Pelakon aksi jangan hanya tumpu 'buat badan' - Pekin Ibrahim - Utusan Malaysia

Pelakon aksi jangan hanya tumpu ‘buat badan’ – Pekin Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Pekin Ibrahim, 43, mengakui, industri perfileman tanah air kini kekurangan pelapis filem aksi yang berkualiti selain menganggap pelapis sepatutnya dicari atau dibentuk bermula dari awal.

Menurut Pekin atau nama sebenarnya Mohd Aznan Ibrahim, pelakon untuk watak aksi juga harus memahami bahawa mereka bukan hanya perlu ‘buat badan’ tetapi juga harus memiliki asas dalam seni mempertahankan diri.

“Berlakon watak aksi ini bukan sahaja kita lihat pada aspek buat badan, tetapi seseorang pelakon itu haruslah juga persiapkan diri dari aspek kemahiran seni mempertahankan diri.

“Sekurang-kurangnya cukup ada asas itu sebab benda itu penting kerana awak pun dah sasarkan ada badan cantik (sasa) dan nak pergi (berlakon) kepada filem aksi,” katanya.

Terdahulu, pelakon Ruzaidi, Abdul Rahman membuat satu keyataan bahawa pelakon bakat baharu yang sedia ada meskipun berbadan sasa serta tegap, bagaimanapun ‘lembik’ apabila tidak boleh membuat aksi seperti menumbuk dengan baik kerana tiada kemahiran seni mempertahankan diri.

Selain itu, jelas Pekin, persediaan diri harus diutamakan oleh seorang pelakon aksi agar ia memudahkan proses penggambaran termasuk dilihat sebagai kelebihan pada individu terbabit.

“Saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Ruzaidi sebelum ini, sebab memang industri kita tak ramai pelakon aksi. Macam Hairul Azreen pun dah bersara dan yang ada, Beto Kusyairy masih lagi aktif.

“Jadi, untuk bakat-bakat baharu (pelakon) sekurang-kurangnya ada asas seni mempertahankan diri itu pun, dah bagus. Sebab, sekarang kita tengok tuntutan pada filem aksi semakin banyak,” katanya.

Terdahulu, Pekin menerima Anugerah Khas Anak Seni di Feista Belia Merdeka 2024 anjuran KL Care dengan kerjasama Majlis Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi KL Care, Muhammad Shafiq Shaharuddin dan Presiden
Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Pekin berkata, dia juga terkejut dipilih menerima Anugerah Khas Anak Seni itu tetapi bersyukur dikurniakan rezeki berikutan sudah 30 tahun pembabitannya dalam karier seni tanah air.

“Saya terima anugerah ini sebagai pengiktirafan dan seadanyanya dalam pencapaian karier seni yang sudah 30 tahun diceburi. Sebagai penerima, saya berterima kasih atas anugerah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya