KUALA LUMPUR : Pelakon, Puteri Sarah, 39, mengakui tidak terasa hati seandainya pasukan Gebu yang disertainya dalam Muzikal Lawak Superstar (MLS) menjadikan kisah rumah tangganya dengan bekas suami, Syamsul Yusof sebagai bahan humor.
Baginya, setakat ini, perkara itu tidak menimbulkan masalah kerana ia disifatkan tidak berlebihan.
“Selalunya, kami (kumpulan Gebu) akan berlatih dan rasanya tak keterlaluan sangat, cuma sikit-sikit saja. Tak adalah berlebih-lebihan sangat. Saya okay saja sebab tak berlebihan dan orang pun ketawa.
“Orang pun tahu, itu buat jenaka saja. Produksi ada berikan beberapa had dan batasan, tetapi yang ini okey saja,”katanya.
Sarah berkata demikian ketika ditemui pada acara Zumba with Abby Abadi dan majlis pelancaran produk makanan tambahan, Berryfull Honey Lemon di sekitar ibu kota, kelmarin.
Dalam pada itu, Sarah memberitahu, ibu mentuanya Datin Patimah Ismail yang hadir menyaksikan persembahannya juga terhibur.
“Dia pun ketawa juga dan dia datang ketika minggu pertama. Dia terhibur dan saya pun dah maklumkan kepada dia.
“Malah, rakan sekumpulan saya iaitu Mamak Puteh dan Ilham Abata pun cakap maaf dan dia pun cakap okey, tak apa sebab dia pun terhibur juga,”katanya.
Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 7, dan Summayah, 5. Namun, mereka disahkan bercerai pada 14 Jun 2023.