Tidak semena-mena, air mata pelakon, Mimi Ernida mengalir laju saat dilayangkan pertanyaan mengenai perihal kerjaya seninya.
Bukan apa, untuk mengenang kembali saat dirinya berada di takuk terbawah dalam hidup ketika sedang bergelut dengan fasa ketiadaan satu pun tawaran kerja seni, baginya, hal itu sangat menyedihkan.
Dua tahun saat sebelum pandemik Covid-19 muncul, hidupnya terlebih dahulu sudah merasai kepayahan. Malah, setiap hari tertanya-tanya, mengapa tiada langsung tawaran berlakon? Apa salah dirinya? Mengapa orang lain lebih rancak berlakon tetapi tidak dirinya?
“Sebolehnya saya tak mahu menyalahkan orang lain kerana faham, mungkin dengan adanya lambakan pelakon muda dan baharu menjadi penyebab saya tidak diambil berlakon.
“Itu lumrah kerana dunia seni ini tentu sahaja akan ada pelakon baharu yang muncul. Maka, saya buat keputusan berniaga laksa untuk cari pendapatan.
“Maklum sahajalah, kalau tiga bulan tiada ‘job’ duit simpanan makin menyusut. Ini kan pula dua tahun. Saya cukup sedar yang diri tak boleh berpeluk tubuh,”katanya.
Meskipun berusaha mencari pendapatan dengan cara berniaga, jiwa seorang anak seni yang begitu sebati dalam diri membuatkan Mimi lama ‘berperang’ dengan emosi.
“Sedih, keliru, pendek kata macam-macam yang saya fikirkan sepanjang ketiadaan tawaran berlakon dua tahun itu. Bayangkan, semasa saya mencuba untuk fokus dan reda, tiba-tiba ada produksi hubungi dan mahu tawarkan kerja lakon.
“Ketika itu, saya malah tertanya-tanya, mengapa sekarang baru mereka nak panggil? Baru nak berikan tawaran? Di mana mereka sewaktu saya benar-benar sedang bergelut sukar?
“Lama juga saya cuba muhasabah diri. Iya saya tahu, ini soal rezeki. Tetapi kita ini manusia biasa, tentu tak akan setiap kalinya nak berfikiran baik atau positif. Setiap orang juga akan merasai fasa begini,”katanya.
Jawab sahaja di akhirat
Menurut pelakon berusia 34 tahun ini, sepanjang pengetahuannya, dia tidak pernah mempunyai musuh dalam industri seni hiburan ini.
Bagaimanapun, sekiranya ada pihak tertentu yang cuba menutup periuk nasinya dengan cara kotor, bersifat iri hati atau sebagainya, bagi Mimi, dia tidak dapat mengawal keadaan itu.
Kata Mimi, jika wujud pihak-pihak tertentu yang mahu memfitnah, dia hanya mampu menyerahkan urusan itu kepada Allah.
“kalau ada yang memfitnah, ingat satu sahaja. Kita ini semua akan mati. Perjalanan mati itu sama, dikuburkan semua sama. Kalau betul ada orang cuba burukkan saya, nanti jawab sahajalah di akhirat.
“Kalau satu rezeki dia cuba tutup, saya percaya akan ada banyak lagi yang Allah akan berikan. Di dunia ini bolehlah dia masih bermaharajalela. Saya pun tak menuduh sesiapa cuba jatuhkan atau burukkan saya selama ini.
“Cuma, saya tak mahu terus berfikir tentang hal ini. Lebih baik saya fokus dengan apa yang saya ada sahaja. Jika tidak macam mana nak hidup kalau asyik fikir kita ada musuh,”ujarnya lagi.
Impian sertai teater
Dalam pada itu, Mimi yang telah membina kerjaya hampir 14 tahun dalam industri seni mengakui pada kebanyakan masa, dia masih lagi diberikan watak sokongan khususnya untuk naskhah drama dan telefilem.
Walhal, dia tahu, kebolehan dan bakat lakonan yang ada pada dirinya bukan terhad cumanya itu.
Sesekali, selalu Mimi menaruh harapan agar penerbit dan pengarah dapat memberikan peluang kepadanya menyerlah sebagai watak utama atau watak yang lebih berat untuk digalas.
Ini kerana, sebagai pelakon, Mimi sedar, dia perlu menyerlahkan lakonan yang versatil agar penonton juga tidak bosan dengan hasil kerja lakonnya.
Justeru, apabila diberi peranan utama dalam pementasan teater Cinta Ahmad Mutawakkil ( CAM)
anjuran Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Persatuan Seni dan Budaya The Redholah, Mimi akui, impian ini harus dilunaskan dengan sebaik mungkin.
“Saya tak pernah berlakon teater. Jadi apabila peluang ini datang, tentunya saya tak akan lepaskan. Selama ini hanya dengar sahaja orang lain berlakon teater dan bagaimana mereka kata pengalamannya berbeza.
“Rupanya memang betul, berlakon teater tak sama dengan kita berada di hadapan kamera. Cabarannya lain dna memerlukan permainan kita lebih besar.
“Saya sendiri pun banyak raih ilmu dan belajar daripada pelakon lain di pentas ini,”katanya.