KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, 32, kesal dengan tindakan individu yang gemar menyindir dalam pujian.
Menurut Diana, perbuatan itu sebenarnya tidak wajar namun seakan sudah dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat.
“Apabila orang cakap dah tua pun cantik. Mengapa perlu cakap tua, kalau hendak puji cantik, hanya perlu cakap cantik.
“Ia dilihat seperti standard yang ditetapkan masyarakat. Sebagai contoh, sudah jadi emak pun masih cantik. Jadi adakah kalau jadi emak perlu kelihatan seperti puntianak atau lesu sepanjang masa.
“Saya sebenarnya tidak faham dengan budaya sebegitu, beri pujian tetapi dalam masa sama mengutuk,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Tambah Diana, dia membangkitkan isu berkenaan kerana melihat ia sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat dan bukan menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa, saya hanya cakap perkara ini sudah dianggap budaya.
“Tetapi jika anda ingin menyalahkan sesiapa, itu terpulang. Terserah kepada anda,” katanya.
Diana memberi reaksi tersebut ketika menjawab pertanyaan seorang pengguna media sosial mengenai golongan yang perlu dipersalahkan apabila ‘pujian sarkastik’ sudah dinormalisasikan masyakarat.
Meninjau ruangan komen, beberapa warga maya dilihat bersetuju dengan pelakon Imaginur itu.
“Masyarakat suka meletakkan standard terhadap seseorang seperti kalau bertubuh gempal tidak pandai bergaya. Kalau tinggi lampai pasti cantik seperti model.
“Kalau nak puji cakap betul-betul, jangan nak menyakitkan hati pula. Ini tidak suka cakap gemuk pun cantik, tua pun cantik, hitam pun cantik,” antara komen netizen.