KUALA LUMPUR: Penyampai radio terkenal, Linda Onn, 46, tampil memohon maaf kepada pihak media yang masih berkecil hati kerana tidak mendapat jemputan ke majlis pernikahannya 11 tahun lalu.
Jelas Linda, berlaku salah faham dan dia tidak pernah menghalau media yang hadir ketika itu, malah tidak tahu menahu mengenai kehadiran mereka waktu itu.
“Kepada ada media yang masih kecil hati dengan perkara itu, saya mohon maaf. Usia rumah tangga saya pun sudah masuk lebih 11 tahun. Anak juga semakin dewasa.
“Ada sebab saya tidak mengundang media ke perkahwinan saya pada waktu itu. Ia tidak dapat saya ceritakan. Tiada kaitan dengan saya atau suami. Ia isu yang lain. Lagi pun, ketika itu, saya tidak jemput semua, hanya keluarga dan rakan terdekat.
“Dan majlis pernikahan saya ketika itu dibuat secara kecil-kecilan tertutup. Andai kata ada yang terasa hati, saya minta maaf. Diharapkan penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang berlaku,” katanya.
Linda berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran rangkaian produk penjagaan rambut Noir X RidzOkumura, baru-baru ini.
Penyampai radio popular itu pada 11 tahun lepas mencetuskan kontroversi apabila didakwa menghalau pihak media yang datang ke majlis perkahwinannya itu.
Kata Linda, dakwaan tersebut tidak benar dan dia tidak pernah menghalau media, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai kehadiran rakan media selepas majlis perkahwinannya selesai.
“Saya pernah terbaca dalam akhbar dan majalah, konon wartawan tak dibenarkan masuk dan dihalau ketika itu. Dilaporkan berlaku ketegangan.
“Sebenarnya perkara itu tidak berlaku. Saya tidak menghalau sesiapa dan benar-benar tak tahu ada media yang datang. Bila dimaklumkan tentang perkara itu selepas majlis selesai, saya rasa serba salah. Sebab saya tak tahu mereka hadir.
“Andai kata ketika itu saya tahu media hadir, saya sendiri yang akan pelawa mereka masuk. Saya harap tak ada lagi isu antara saya dengan media. Perkara ini pun sudah berlalu.
“Yang kenal saya tahu saya bukan orang begitu. Tapi disebabkan salah faham. Sampai sekarang baru anda tahu yang saya tak tahu apa yang berlaku ketika itu,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Linda juga memaklumkan yang dia tidak tahu bahawa dia diboikot sesetengah media gara-gara kejadian itu.
“Wartawan terkenal, Allahyarham Mama Juwie pernah ajak saya bersemuka dengan rakan media. Saya ketika menerima pelawaan itu, agak keliru…apa salah saya?
“Tapi saya kata tidak mengapa, lagi pun ketika itu saya segan. Saya yakin lama kelamaan isu ini akan selesai.
“Terus terang saya katakan saya tak tahu yang say diboikot disebabkan insiden itu. Sebab saya tak kenal siapa yang tak suka saya. Itu sebabnya saya tertanya-tanya bila arwah Mama Juwie ajak bersemuka dengan media,” kongsinya.
Linda mendirikan rumah tangga bersama Ungku Azhar pada 27 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Ungku Zara Ungku Azhar.