KUALA LUMPUR : Penyampai radio dan bekas ahli politik, Khairy Jamaluddin (KJ), berpandangan, satu ekosistem atau struktur sokongan yang kuat perlu diwujudkan bagi membantu golongan teraniaya khususnya mangsa-mangsa jenayah seksual.
Menurut KJ, perkara ini penting bagi membolehkan mangsa yang telah membuat aduan atau laporan mengenai apa yang terjadi tidak berasa dirinya diancam, diugut atau takut sewaktu proses siasatan dijalankan.
“Ini amat penting agar mangsa tidak mengalami trauma semasa dan selepas kejadian yang memungkinkan mangsa bertindak diluar kawalan. Macam apa yang dipaparkan dalam drama The Secret terbitan Viu, saya difahamkan ia mengambil konteks apa yang berlaku di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Mungkin dalam kes ini, trauma daripada kejadian dan trauma selepas kejadian, sama teruk dan itu telah menyumbang kepada tindakan membunuh diri,”katanya dalam satu sesi audio siar Keluar Sekejap, baru-baru ini.
Perkara itu turut disokong rakan penyampai audio siar tersebut, Shahril Hamdan, yang berpendapat, stigma masyarakat harus dibuang agar mangsa yang mengalami keganasan seksual dan rogol mempunyai keberanian untuk ke depan, bersuara dan tidak malu untuk bertindak kerana mereka tidak bersalah.
“Bagaimana kita nak mengurangkan stigma, supaya mereka yang menjadi mangsa keganasan seksual ini ada keberanian dan pemerkasaan untuk mereka bersuara dan ada sistem sokongan yang boleh bantu,”katanya.
Shahril juga sependapat dengan KJ bahawa drama bersiri The Secret membawa isu dan tema yang sangat serius untuk dipaparkan kepada masyarakat umum terutama dalam hasrat untuk memberi kesedaran dan pengajaran.
Drama bersiri The Secret ini dibintangi barisan pelakon seperti Siti Saleha, Sara Mack Lubis, Ucop, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Amir Nafis, dan Lorenzo Irmann.
Drama ini mendapat garapan hebat daripada pengarah, Jason Chong yang turut menyelitkan banyak pengajaran terutama tentang bagaimana masyarakat dapat memainkan peranan untuk sama-sama menangani kes-kes keganasan seksual dan trauma kepada mangsa.
Drama bersiri Viu Original dengan 8 episod ini mengisahkan Liya, lakonan Ellyza Azizi tyang elah dirogol oleh pensyarahnya sendiri iaitu lakonan Datuk Remy Ishak.
Cerita ini menggambarkan bagaimana seorang pelajar tidak mampu berbuat apa-apa dan kesedaran masyarakat membantu untuk dia bersuara agak kurang sehingga dia bertindak di luar kawalan.
Kisah penceritaan ini sangat bertepatan dengan kes-kes yang berlaku dimana masyarakat harus memainkan peranan untuk membantu golongan yang teraniaya dan bukan berdiam diri demi menjaga nama seseorang atau sesebuah insititusi.