PUTRAJAYA: Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie, sanggup mengeluarkan kos sendiri untuk memastikan isteri dan anaknya berada bersamanya sepanjang menjalani penggambaran filem Duyung: Legenda Aurora di Pulau Langkawi, Kedah.
Bakal berada di set sepanjang sebulan di lokasi berkenaan minggu hadapan, Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 27, berkata, usaha itu dilakukannya kerana tidak sanggup tinggal berjauhan dengan anak dan isteri.
“Saya akan bawa anak ke Langkawi untuk menjalani penggambaran Duyung: Legenda Aurora dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
“Kalau nak tahu, anak perempuan saya itu sangat manja. Saya ada fikir macam mana nak tinggalkan dia selama dua minggu sebab kalau berjauhan sebelum ini pun, paling lama pun dua ke tiga hari sahaja.
“Jadi untuk komitmen filem ini, masa di penggambaran agak lama, jadi itu yang saya bawa juga,” katanya semasa sidang media Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios, Putrajaya baru-baru ini.
Berkongsi mengenai wataknya, Ayie berkata, dia yang bakal membawakan watak Dashman teruja untuk menjadi anak kepada Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hanis) dalam filem sekuel Duyung tersebut.
Pada masa yang sama, pelantun lagu Hutang itu berharap peranan digalas dalam filem arahan Datuk Prof Ts. Dr A. Razak Mohaideen memberi kesan mendalam buat penonton.
“Apabila dapat tawaran agak gementar sebab saya tengok filem ini ketika berada dalam darjah lima.
Saya rasa ini satu penghargaan besar apabila diberi tanggungjawab berat untuk membawa nama duyung.
“Agak mencabar bagi diri saya, ini pengalaman baharu sebab sebelum ini saya hanya berlakon cerita yang agak ringan,” ujarnya.
Filem Duyung: Legenda Aurora bergenre komedi fantasi berkisar kemunculan semula Puteri yang memohon bantuan Jimmy menyelamatkan anaknya, Aurora yang ditangkap kumpulan pukat tunda haram.
Berdurasi 110 minit filem Duyung: Legenda Aurora akan memulakan penggambaran pada 13 September ini hingga 13 Oktober depan.
Filem ini dijangka menemui penonton pada suku tahun ketiga 2025.