Keadilan sudah pun berlaku, ia sudah cukup sakit - Da'i Fuad - Utusan Malaysia

Keadilan sudah pun berlaku, ia sudah cukup sakit – Da’i Fuad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pendakwah bebas, Da’i Fuad, memohon warganet dan seluruh masyarakat supaya berhenti mengecam dan mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung apa yang menimpa rakannya, Da’i Syed yang dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan pada Jumaat lalu.

Menurut Fuad, hukuman telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah dan seharusnya semua pihak berhenti daripada terus memberi tekanan kepada Syed, termasuk keluarga khususnya terhadap isteri dan anaknya.

“Sebagai orang yang beriman kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah kita berpegang bahawa takdir baik dan buruk itu semuanya di atas kekuasaan Allah.

“Rayu saya agar cukuplah polemik ke atas Syed. Jika kita inginkan keadilan maka keadilan sudah pun berlaku. Ia sudah cukup sakit,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Fuad juga mengakui turut bersedih atas nasib yang menimpa rakannya itu.

“Isu Syed, sebagai rakan Da’i saya terkelu lidah dan rasa tidak menentu serta serba salah hari ini (semalam).

“Menitik juga air mata ketika terdengar berita hukuman berkenaan tersebar sebelum solat Jumaat.

“Ujian ini bukan sahaja untuk dia tetapi kami semua. Kami mohon maaf,” katanya menerusi satu ciapan di aplikasi X.

Sementara itu, Fuad turut meluahkan rasa kasihan terhadap isteri dan anak Syed kerana perlu meneruskan hidup dengan dugaan yang sangat berat.

“Kasihanilah juga isteri (Hana Ismail) dan anaknya yang harus menghadapi rintangan hidup yang berat ini. Apatah lagi jika mereka perlu hidup tanpa pelindung.

“Keadaan ini adalah ruang untuk kita semua bermuhasabah dan sedar bahawa setiap daripada kita bila-bila masa sahaja akan diuji. Semoga Allah tidak menguji kita semua dengan ujian yang berat,” ujarnya.

Pada pagi Jumaat lalu, Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Syaiful, 29, dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Untuk rekod, Syed mendirikan rumah tangga dengan Hana pada 3 Disember 2022.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata Bernama Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya