Jangan sesuka hati rakam, jadikan anak orang bahan kandungan - Utusan Malaysia

Jangan sesuka hati rakam, jadikan anak orang bahan kandungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 32, menganggap perbuatan merakam dan menjadikan kanak-kanak yang tidak mempunyai kaitan dengan diri sebagai bahan kandungan di media sosial merupakan satu tindakan tidak wajar.

Bahkan, menurutnya, perkara itu lebih buruk sekiranya individu yang merakam tersebut mempunyai niat yang tidak baik.

“Sangat tak okey untuk anda merakam orang lain sesuka hati terutama kanak-kanak dan jadikan ia sebagai satu bahan kandungan media sosial. Saya komen ini berhubung isu semasa yang merujuk kepada isu pemandu bas merakam kanak-kanak sekolah baru-baru ini.

“Walaupun mungkin pemandu bas itu berniat baik atau dia orang baik meskipun agak aneh bila dia turut suka atau ‘crush’ dengan budak itu. Tetapi, perkara pokok sekarang, awak telah mendedahkan budak-budak ini kepada orang-orang jahat atau mereka yang mungkin berniat jahat.

“Orang yang tengok video itu boleh menjadikan budak-budak itu sebagai sasaran. Mereka mungkin boleh ikut atau tunggu budak-budak ini di mana-mana,”katanya.

Uyaina berkata demikian dalam satu hantaran video di Instagramnya, hari ini.

Selain itu, kata Uyaina, dia juga yakin mereka yang berniat jahat boleh mendapat tahu dengan mudah di mana lokasi sekolah kanak-kanak tersebut dengan hanya merujuk kepada video yang dimuat naik.

“Sebenanrya dengan hanya merakam perkara begitu, dalam bas, orang boleh tahu kanak-kanak itu bersekolah di mana, tunggu mereka dan banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku terutama kes-kes jenayah.

“Apatah lagi, sekarang ini banyak kes jenayah macam culik, rogol, bunuh dan sebagainya. Anda boleh pula rakam dan jadikan bahan kandungan?”katanya.

Selain itu, dalam nada tegas, kata Uyaina, banyak perkara atau benda lain yang boleh dijadikan sebagai bahan kandungan dan tindakan merakam kanak-kanak adalah satu yang tidak dapat diterima akal.

“Kalau nak tahu, ada akta yang memperuntukkan tentang hak kanak-kanak dan kalau anda melanggarnya, anda boleh dikenakan hukuman penjara.

“Dua daripadanya ialah menerusi Seksyen 15a Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001. Jadi, janganlah asyik nak fikir buat bahan kandungan sampai sesuka hati rakam anak orang dan jadikan ‘content’.

“Sebenarnya, saya sangat marah sebab orang begini dedahkan kanak-kanak ini kepada pemangsa. Namun, syabas rakyat Malaysia sebab bersuara tentang hal dan kes ini. Bagi saya, perkara ini sangat tidak okey tak kisahlah siapa pun anda, pemandu baskah atau seorang guru,”katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar jelas kelihatan.

Bagaimanapun, individu terbabit telah berjaya ditahan pihak polis pada awal pagi tadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN