KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 32, mengakui tidak kisah andai ramai golongan berhaluan kiri mengecam tindakannya meneruskan usaha menyebarkan kesedaran mengenai isu gangguan seksual terutama melinatkan kanak-kanak.
Bagi Uyaina, ini adalah usahanya untuk terus mendidik masyarakat mengenai isu tersebut terutama selepas tular di media sosial berhubung isu Abang Bas.
“Saya rasa ini adalah cabaran untuk beri pendidikan kepada masyarakat. Bukan nak kata sebab saya ada latar belakang dalam bidang undang-undang. Benda ini, tak perlu menjadi seorang peguam pun untuk cakap atau suarakan.
“Benda ini hanya perlu pakai otak. Itu sahaja. Lagipun isu ini sudah ada akta. Apa yang Abang Bas lakukan itu ia adalah salah menurut akta. Jadi siapa saya untuk cakap sesuka hati sahaja?
“Saya cakap berdasarkan fakta. Nak cakap saya ‘terpaling’ terpulang. Saya hanya mampu sebarkan kesedaran sahaja,”katanya.
Uyaina berkata demikian semasa ditemui pada majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ( ABP) ke-36, di sini, semalam.
Selain itu, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) ini percaya, individu terbabit berhak mendapat pembelaan selagi belum disabitkan bersalah.
“Ini adalah hak undang-undang untuk semua orang. Tak kiralah siapa. Alhamdulillah, ada peguam yang secara sukarela ambil kes tersebut, ada yang nak membela dia.
“Itu adalah hak asasi semua orang. Semua orang harus diberi peluang untuk membela diri sendiri. Saya pun tak pernah jatuhkan hukuman kepada Abang Bas. Itu adalah tugas mahkamah.
“Saya di aini adalah untuk menyebarkan kesedaran,”katanya.
Dalam pada itu, Uyaina tidak kisah dirinya dicemuh, dikritik dan menjadi bahan bualan ramai kerana sudah lali dengan semua itu.
Katanya, keadaan itu sudah menjadi lumrah bagi kehidupan seorang artis dan selebriti dan sedikit pun tidak akan menggugat dirinya daripada terus bersuara.
Sebelum ini, Uyaina meluahkan rasa kecewa dengan tindakan seorang pemandu bas yang merakam video pelajar sekolah.
Menurutnya, perbuatan tersebut dilihat boleh menyumbang kepada jenayah melibatkan kanak-kanak.
Pemandu bas lebih dikenali sebagai ‘abang bas’ itu didakwa di Mahkamah Muar, Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan namun dibebaskan semalam dengan bayaran jaminan sebanyak RM40,000.
Rentetan itu, keluarga abang bas melahirkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa mengundang syak wasangka serta kecaman terhadap mereka sebelum ini.
Antara nama ‘dipetik’ netizen ialah Uyaina dan Diana Danielle kerana dilihat lantang bersuara mengenai isu berkaitan abang bas dalam media sosial.