SHAH ALAM: Pelakon, Alvin Chong mengakui, wajah seakan ‘budak baik’ yang dimiliki adakala memberikan kesukaran buatnya untuk mendapat tawaran yang bersesuaian.
Menurut, Alvin, dia menyedari perkara itu setelah beberapa kali menghadiri sesi uji bakat dan mahu mencuba nasib bagi membawakan watak aksi demi mencari cabaran baharu dari sudut seni lakon.
Namun, katanya, setiap kalinya juga dia terpaksa berdepan dengan penolakan gara-gara wajah yang dimilikinya.
“Setakat ini apa yang saya dapat lebih kurang sama, hero yang nampak ‘handsome’ dan kemas. Tunggu juga tawaran yang bukan sebegitu, tapi belum dapat lagi. Belum ada rezeki lagi rasanya.
“Saya nak juga watak psiko dalam naskhah ‘serial killer’, tapi tak dapat lagi. Ini semua gara-gara waja ‘budak baik’ saya.
“Saya pernah pergi uji bakat untuk sebuah filem, tapi tak boleh cakap filem apa, saya cuba untuk watak polis atau tentera. Mereka cakap lakonan okey namun sampai ke pengarah, dia cakap muka saya terlalu baik jadi saya tak dapat,” katanya.
Selain itu, jelas Alvin, dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menyakinkan pengarah mahupun penerbit untuk memberikan peluang kepadanya bagi menjayakan watak yang berbeza.
“Nak buat macam mana, tak akan saya nak suruh saya pergi buat muka, tanam janggut, misai dan sebagainya. Tidaklah saya nak buat semua itu. Kalau suruh saya simpan misai dan janggut pun, ia tidak tumbuh sebab memang genetik saya sebegini.
“Saya pun tak tahu nak buat macam mana sebab saya nak juga watak yang berbeza, nanti orang tengok lakonan saya pun bosan. Tak akan asyik drama bercinta, orang ketiga, emak mentua tak suka dan sebagainya,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan sebagai penyanyi, Alvin baru saja melancarkan album studio penuh berjudul ‘between the lines’.
Bagaimanapun, Alvin berkata, dia tidak mempunyai banyak harapan untuk album tersebut kerana dia hanya ingin memperkenalkan muziknya sendiri dan berharap dapat mempersembahkannya di masa depan serta berkongsi pengalaman hidupnya dengan orang-orang yang menyukai muziknya.