KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari, tidak menolak ramai kalangan pelabur berpotensi tidak begitu agresif menyuntik dana bagi membantu melonjakkan lagi sektor pementasan teater tanah air berbanding penganjuran konsert atau filem.
Menurut Haswendy, sekiranya keadaan itu dapat diubah, secara positifnya ia dapat memartabatkan industri seni lakon teater tempatan agar tidak terus dilihat lesu.
“Sebagai contoh, untuk terbitkan sebuah pementasan teater bangsawan, minimum RM100,000 sudah mencukupi untuk menghasilkan sebuah persembahan yang bermutu.
“Orang teater ini biasanya lebih mengutamakan kualiti persembahan berbanding wang. Namun, jika ada kos lebih, itu bonus dalam menyampaikan persembahan lebih berkualiti secara keseluruhan dengan membabitkan set pementasan, kostum dan sebagainya.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak masih ramai menganggap kalau buat teater ini umpama tak balik modal. Walhal, sebenarnya, ada nilai tambah lain yang mereka lepas pandang,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, semalam.
Jelas pengarah teater Dang Anum (The Untold Story) ini lagi, disebabkan itu, pengkarya sepertinya perlu mengambil langkah untuk berusaha meyakinkan pihak pelabur untuk menyuntik dana dalam industri teater.
“Tanggapan salah mereka harus diperbetulkan. Bukan tak boleh buat duit, tetapi kita kena nyatakan apa peluang dan ruang yang mereka boleh raih menerusi dana yang disuntik.
“Kita juga kena didik pelabur memahami situasi ini kerana dana yang diperlukan tidak sampai RM1 juta pun. Kalau sudi labur sekurang-kurangnya RM50,000 pun boleh majukan industri teater kita.
“Malah ia juga dapat mengatasi isu bayaran paras rendah yang sering terpalit dan disuarakan oleh barisan pemain teater tempatan,”katanya.
Haswendy mewakili Persatuan Seni dan Budaya (The Redholah) bakal mementaskan teater Dang Anum (The Untold Story) yang merupakan projek pementasan teater melalui GSSK bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Teater ini bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya san bakal menampilkan Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish dan ramai lagi.