KUALA LUMPUR : Pelakon, Adam Shahz mendedahkan, sejak diberi peluang beraksi dan bersilat di dalam pementasan teater Dang Anum (The Untold Story), dirinya mula diintai penerbit dan pengarah filem aksi.
Bagaimanapun, Adam mengakui, dia tidak bersifat tamak dengan mengambil semborono segala tawaran yang datang kerana beranggapan masih banyak lagak aksinya yang perlu digilap dengan lebih baik.
“Ada antara tawaran yang datang saya terpaksa tolak sebab tidak mahu mencacatkan karya orang lain dengan gerak sumbang silat saya.
“Ada juga tawaran untuk melakukan persembahan silat di pentas susulan persembahan saya dalam teater Dang Anum tahun lalu,” katanya.
Meskipun begitu, Adam berkata, dia kini dalam proses pengajian silat gayong bersama pelakon filem Geran, Lekiu Qohar.
“Saya bukan seorang pesilat tapi setiap kali latihan, saya akan kongsi klip melakukan latihan bersilat di sosial media untuk melihat maklumbalas mereka yang pakar.
“Malah beberapa rakan artis yang handal bersilat seperti Fad Anuar, memuji gerak silat saya sebab nampak ‘authentic’, tidak sumbang,” katanya.
Selain itu, pelakon yang memegang watak Tun Bija Ali di dalam teater ini menegaskan, jika individu yang mengajar silat itu beraksi sumbang, maka langkahnya juga turut akan sumbang.
Disebabkan itu, kata Adam, dia bersyukur kerana banyak ilmu gerak silat dipelajari daripada rakan pelakon yang berpengalaman seperti Md. Husin melalui Teater Dang Anum.
“Hasil koreografer silat yang diajarinya, nampak seakan saya seorang yang pandai bersilat. Langkah lebih menyakinkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari, berharap teater kali ini dapat menarik minat lebih ramai penonton dari pelbagai latar belakang.
“Teater kali ini lebih menarik dari segi aksi silat, komedi, drama dan ‘tasmat’.
“Ini kerana ruang untuk bermain teater lebih besar, jadi segala unsur tarikan di dalam teater ini juga perlu besar dan mengkagumkan,” katanya.
Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) bakal mementaskan Teater Dang Anum (The Untold Story) pada hujung minggu ini bermula 27 sehingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (Cempaka Sari), Putrajaya.
Selain Adam Shahz, pelakon lain antaranya Ain Sufia, Along Eyzendy, AG Hafiz, Karl Dannish, Aman Salleh, Md. Husin dan Affan Mohd.
Tiket pementasan boleh dibeli melalui www.ticket2u.com