Fir dan Afick tidak diskriminasi artis - Utusan Malaysia

Fir dan Afick tidak diskriminasi artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Enam bulan bersiaran di saluran TVS, program Fir dan Afick Tonight Show (FATS) bakal dilanjutkan lagi ke musim kedua selepas mendapat sambutan hangat daripada penonton setia mereka.

Teruja dengan perkara tersebut, pengacaranya, Fir Afandi meluahkan rasa syukur kerana dia bersama rakan seperjuangan, Afick Wazai sememangnya menaruh harapan besar untuk terus mengendalikan program tersebut.

Ini kerana bagi bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini, FATS memiliki keunikan tersendiri yang berbeza dengan mana-mana program santai televisyen lain.

“Memang program ini diwujudkan mengikut kesesuaian personaliti saya dan Afick. Kebetulan saya juga sudah bekerjasama dengan TVS sudah lama dan pihak stesen tv ini juga sering beri peluang kepada saya untuk menjadi hos.

“Cuma kali ini apabila dapat bergandingan dengan Afick dalam sebuah program begini, saya rasa unik. Satu seban ketara, ini satu-satunya ‘show’ yang menampilkan sua hos bersaiz XL.

“Yang keduanya, FATS tidak mengamalkan diskriminasi terhadap artis. Maknanya, kami ini sentiasa mengalu-alukan artis jemputan tanpa mengira populariti,”katanya.

Selain itu, tambah Fir, program kendaliannya bersama Afick itu juga sengaja dibentuk dalam acuan santai dengan membenarkan artis jemputan berkongsi pelbagai cerita dari sudut pandang masing-masing.

Namun, pada masa yang sama, kata Fir, mereka masih menjaga perkara-perkara sensitif supaya tidak terpalit dengan kecaman orang.

“Memang ia sebuah program yang santai dan artis boleh bercakap tentang apa sahaja topik. Namun kami masih menjaga sensitiviti dalam canda tawa sepanjang sesi berlangsung.

“Dari aspek keserasian, saya dan Afick juga telah lama bekerjsama dan tiada masalah. Jadi untuk musim kedua nanti, tentunya kami tidak sabar untuk menyajikan persembahan lebih baik dan bertenaga,”katanya.

Sementara itu, penerbit program, Nazuan Afindi, melahirkan rasa bangga dengan sambutan penonton meskipun program tersebut masih dianggap baharu.

Menurut Nazuan, pihaknya juga berharap program FATS dapat meluaskan lagi radar penonton dengan tidak cuma diminati warga Sarawak, Sabah dan Brunei, tetapi juga di Semenanjung.

“Kami berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi di kalangan penonton Sarawak namun pada masa yang sama berharap program ini juga dapat menarik hati penonton di Semenanjung.

“Menerusi usaha ini, secara tidak langsung, TVS juga berpeluang mengembangkan lagi bakat-bakat lokal ke seluruh negara dengan salah satunya menerusi program FATS.

“Untuk musim kedua kelak, kami akan cuba pastikan pengisian program lebih mantap dan bermutu. Dari segi pengacara, setakat ini memang kedua-duanya sangat serasi dan banyak memainkan peranan dalam memeriahkan lagi program ini,”ujarnya.

Fir & Afick Tonight Show bersiaran setiap Ahad pada pukul 9.15 malam di saluran TVS selain turut dapat ditonton di saluran You Tube TVS.

Antara artis yang pernah menjadi tetamu undangan dalam 12 episod yang disiarkan termasuk Bell Ngasri, Erra Fazira, Didie Alias, Baby Shima, Kumpulan Senario, Man Raja Lawak dan Elly Mazlien.

Sementara itu, bagi episod akhir yang akan disiarkan pada malam ini pula akan menampilkan penyanyi, Marsha Milan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya