KUALA LUMPUR : Enggan lagi berdiam diri, selebriti serba boleh, Elly Mazlein, 44, mengambil jalan membidas mana-mana pihak yang cuba menyindir dan menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka pihak tertentu.
Dipercayai dijentik dengan usikan tanpa nama oleh pengacara program The Chosen One musim kedua terbitan Astro, Jihan Muse, Elly, bertindak menyindir semula wanita berkenaan di ruangan Instagram Story (Igs) hari ini.
Menurut Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, berbanding sebelum ini, dia memilih untuk tidak mengambil tahu mengenai perihal orang lain namun tidak menyangka wujud individu yang masih tidak berpuas hati dengan dirinya.
“Kadang-kadang, kita ini kalau baik sangat, orang pijak-pijak sampai lumat kita punya kepala lutut. Sekarang ini saya tak nak dah macam itu. Siapa usik, saya akan usik balik dia.
“Sebenarnya, saya tak suka sangat ambil tahu pasal orang lain. Tapi itulah, ada seorang dua ini yang tak habis-habis sibuk pasal saya. Tertanya-tanya juga, apa hebatnya saya ini sampai saya tak boleh keluar daripada kepala otak dia?
“Susah juga jadi nombor satu ini. Tak mengapa, walau macam mana pun, saya akan kekal jadi nombor satu walaupun pelbagai usik-mengusik ada di luar sana,”katanya.
Selain itu, sindir Elly lagi, sebagai wanita muslimah, individu berkenaan seharusnya menjaga tatatertib dan menjaga mulut selain tidak perlu memprovokasi orang lain.
“Sayang, seelok-eloknya, kita ini, lebih-lebih lagi sebagai orang perempuan, muslimah pula itu. Kenalah jaga diri dan mulut. Jangan buat orang, jangan provokasi orang. Saya ini bukanlah tak boleh dibawa bergurau dengan kawan-kawan sejagat.
“Sama ada dengan kawan rapat, yang masih berkawan memang saya tak kisah. Gurau kasar pun tak ada masalah. Tetapi yang ini kategori apa ya? Tak tahulah, segala-galanya berpunca daripada rezeki sahaja,”katanya.
Tambah Elly, mengenai soal rezeki, tidak seharusnya mewujudkan sifat dengki kerana segala urusan itu telah direncanakan Tuhan dengan sebaiknya.
“Saya ini tak adalah pandai sangat, tapi adalah juga belajar dan dengar-dengarlah juga (ceramah agama) walaupun tidak bertutup-tutup dan pergilah juga kelas agama. Tak payah nak kalut, Allah sudah tentukan rezeki semua orang.
“Cuma cepat atau lambat sahaja, jadi sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Kita ini orang Islam. Malulah pasal rezeki nak huru-hara, dengki sana sini,rancang sana sini nak jatuhkan orang. Jangan macam itu, carilah rezeki sama-sama sebab bidang kita ini pun bukannya besar sangat.Lagi pula kita ini sesama Islam.
“Pengajarannya di sini, jangan kita membodohkan diri dek dengki yang menghasut diri sampai kita menjadi bodoh. Sikit-sikit tak apa, jangan bodoh terlampau bodoh sebab nampak buruk sangat,”katanya.
Terdahulu, difahamkan, Jihan Muse yang bergandingan dengan Haziq Hussni, diberi tanggungjawab untuk mengacarakan pentas The Chosen One musim kedua yang berlangsung setiap Jumaat pada pukul 9 malam di saluran Astro Ceria.
Bagaimanapun, ketika mengacarakan pentas tersebut semalam, Jihan dikatakan telah menyindir Elly menerusi usikannya terhadap Haziq yang menggambarkan personaliti Elly sewaktu menjadi pengacara program All Stars Gegar Vaganza tahun lalu.