Ella bangga Standing in The Eyes of The World masih jadi siulan ramai - Utusan Malaysia

Ella bangga Standing in The Eyes of The World masih jadi siulan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock terkemuka tanah air, Ella, 58, bersyukur kerana lagu Standing In The Eye of The World masih popular dan menjadi kesukaan rakyat Malaysia sehingga hari ini meskipun setelah 21 tahun ia dihasilkan.

Bahkan, kata Ella, dia juga berbangga kerana lagu tersebut menjadi pilihan ramai terutama ketika menyambut hari kebangsaan atau membabitkan sambutan kesukanan serta acara meraikan kejayaan.

“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana lagu itu dimiliki oleh saya, lirik dan melodi lagu tersebut pun memang sesuai dengan macam-macam situasi.

“Boleh jadi lagu untuk menaikkan semangat kesukanan atau patriotik, jadi saya sangat gembira,” ujarnya

Ella berkata demikian ketika ditemui pada majlis Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu Standing in The Eye of The World, Ella berkata, dia dan pasukannya menambah beberapa elemen muzik yang melambangkan negara Malaysia dalam lagu itu.

“Pertama sekali saya lihat dahulu lirik, kemudian baru mendengar melodi lagu tersebut. Jadi, setelah mendengar lagu berkenaan beberapa kali, saya terus jatuh cinta.

“Lagu ini sebenarnya sangat bagus untuk diri saya dan boleh memberi semangat kepada semua orang. Tidak kisah kepada sesiapa sekali pun. Kita boleh berkongsi ‘vibe’ dan tenaga dari lagu tersebut bersama-sama”, ujarnya.

Kata Ella lagi, dia juga sangat gembira melihat jalan cerita semasa pembikinan muzik video selain mengakui bahawa lagu berkenaan sangat sesuai untuk rakyat Malaysia.

“Semasa lagu keluar, kami banyak mengambil gambar sukan pada ketika itu. Momen itu, saya sangat teruja bila dapat tengok jalan cerita muzik video lagu tersebut.

“Saya rasa menarik sangat sebab ketika itu kami semua turun padang bersama-sama bangsa lain. Bagi saya lagu itu memang sesuai untuk kita sebagai rakyat Malaysia.

“Apabila mendengar melodinya, kami perlukan penambahan untuk mencantikkan alunan lagu itu. Jadi, kami ada masukkan sedikit elemen kompang untuk menunjukkan budaya Malaysia dan selebihnya elemen antarabangsa.

“Saya rasa lagu itu sangat sesuai untuk sukan Komanwel kita dan sampailah pada masa sekarang,” jelasnya.

Mengulas mengenai gelaran Ratu Lagu Kemerdekaan, Ella mengakui berbesar hati menerimanya dan berbangga menjadi anak Malaysia yang menyanyikan lagu patriotik.

“Saya rasa berbesar hati sebab mereka cakap bila saya nyanyi semangat itu pasti akan bertukar positif.

“Setiap kali merdeka atau apa-apa program di peringkat kebangsaan, tentu lagu saya didengarkan. Saya bangga sebagai anak Malaysia dan pada masa yang sama bertuah kerana karya saya diangkat ke depan,” katanya.

Sementara itu, Ella juga turut memaklumkan mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu genre patriotik termasuklah pemilihan melodi yang sesuai, susunan lirik serta penekanan terhadap elemen-elemen muzik yang dapat mencerminkan identiti dan budaya Malaysia.

“Saya ada rancangan untuk hasilkan lagu seperti itu lagi, tapi saya nak pastikan yang lagu baru mesti setanding dengan yang sedia ada”,katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya