PUTRAJAYA : Pelakon, Mimi Ernida, 34, mengakui pernah berasa kecewa apabila dirinya dipandang sepi oleh penerbit dan pengarah tempatan menyebabkan hampir dua tahun dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan.
Menurut Mimi, pada awalnya dia berasa curiga dengan keadaan itu memandangkan dia tidak pernah mencipta masalah di set penggambaran selain sentiasa berusaha menjaga disiplin diri.
Bagaimanapun, kata Mimi, untuk menuduh mana-mana pihak cuba menabur pasir ke dalam periuk nasi dengan mencanang cerita buruk mengenainya, pelakon ini tidak bersetuju.
“Saya tidak pernah menuduh mana-mana pihak cuba memburukkan nama saya dengan penerbit atau pengarah sebelum ini sebab kita sendiri pun tak tahu diri ini ada yang memusuhi atau tidak.
“Cuma memang betul, dua tahun sebelum pandemik Covid-19 berlaku, saya langsung tiada tawaran lakonan. Keadaan itu membuat saya tertanya-tanya kenapa dan mengapa sebab rasanya saya tak pernah timbulkan masalah dengan mana-mana produksi.
“Kalau ada yang memburukkan nama saya dengan produksi, jawablah nanti di akhirat dan itu bukan urusan saya. Lebih baik saya serahkan sahaja pada Allah,”katanya.
Mimi berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pra-pelancaran Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) anjuran Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Persatuan Seni dan Budaya The Redholah, di sini, hari ini.
Jelas Mimi, dalam tempoh dua tahun tidak menerima tawaran lakonan, dia berusaha mencari sumber pendapatan dengan menjalankan perniagaan laksa yang sehingga kini masih diteruskan.
“Dua tahun tak ada tawaran tak akan nak berpeluk tubug sahaja. Duit simpanan pun makin lama makin menyusut jadi saya kena juga usahakan sesuatu.
“Sebab itu saya berniaga laksa. Mungkin juga ia satu titik permulaan untuk saya mencuba beralih ke bidang lain. Saya cuma fikir satu benda sahaja, kita semua tahu pada akhirnya kita golongan pelakon ini tak akan selamanya berlakon.
“Saya pun tak pernah cakap nak berhenti berlakon, tetapi kita kena juga lakukan sesuatu yang lain sebagai ‘plan B’. Tak akan nak tunggu tak ada baru nak mulakan,”katanya.
Dalam pada itu, Mimi bersyukur ditawarkan peluang untuk terbabit dalam naskhah teater CAM buat pertama kali dalam hidupnya.
Menurut Mimi, berlakon teater adalah satu daripada impiannya sebagai seorang pelakon dan amat sukar untuknya menyatakan kata tidak kepada pengarah, Amirul Haswendy, saat dipelawa.
“Saya sudah 14 tahun berada dalam industri seni dan tak pernah lagi ditawarkan naskhah teater kerana kebanyakkannya adalah untuk telefilem atau drama.
“Terus-terang saya teruja membawakan watak dalam naskhah ini. Saya juga banyak bertanya dan rujuk dengan pengarah mengenai lakonan saya kerana tidak sama dengan cara persembahan kita di depan kamera.
“Banyak ilmu baharu yang saya belajar dan saya amat menghargai peluang yang diberikan oleh pengarah dan seluruh produksi ini sekali gus membolehkan saya menyerlahkan lagi kerjaya lakonan,”katanya.