KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama mendiamkan diri, penyanyi, Cliff Umar,42, kini dikatakan berada di Indonesia dan bekerja sebagai pemandu e-hailing, Gojek susulan sekeping gambar yang dimuat naik di Instagramnya hari ini.
Menerusi hantaran tersebut, Cliff atau nama sebenarnya, Umar Joseph Abdullah, dilihat tersenyum memakai jaket sebagai pemandu Gojek selain menitip khabar terbaharunya di platform tersebut.
Menurut Cliff, meski apa sahaja berlaku dalam hidupnya, dia tetap bersyukur dan akan sentiasa bangkit daripada kegagalan.
“Tidak kira apa sahaja berlaku dalam hidup saya, daripada beraksi di pentas nyanyian atau akhirnya kini menjadi pemandu Gojek, saya bersyukur kepada Tuhan kerana mentakdirkan hidup yang saya telah lalui.
“Ia termasuk kehilangan cinta hati saya, Anita yang merupakan satu-satunya perkara yang membuatkan hati saya begitu hancur. Namun, meski apa sahaja perkara yang menjatuhkan, saya akan tetap bangkit dengan lebih kuat dan lebih baik.
“Kini saya lebih gembira berbanding sebelum dan kehidupan saya kini lebih bermakna,”katanya.
Sebelum itu, Cliff juga membuat satu hantaran video yang memberitahu kini dia menjalani kehidupan yang baharu selepas selesai menjalani proses perbicaraan kes dadah.
“Permulaan yang baharu, kehidupan yang baharu. Macam-macam tengah jadi dalam hidup saya.
“Setakat yang korang tahu saya sudah habis bicara, iyalah, semua sekali kena denda.
“Seperti kenyataan sebelum ini, memang salah saya, tiada sesiapa yang memaksa saya hisap dadah,” katanya.
Terdahulu, Cliff Umar mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Penyanyi itu didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri, Mei lalu.
Cliff juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Peguam Sallehuddin Salam mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon hukuman denda minima susulan menanggung isteri dan empat anaknya.