PUTRAJAYA : Pelakon, Shah Iskandar, 42, mengakui, penglibatannya sebagai watak utama dalam naskhah teater Cinta Ahmad Mutawakkil telah menyuntik satu cabaran baharu dalam kerjaya seninya.
Bagaimanapun Shah berkata, cabaran tersebut berjaya diatasinya dengan rasa bangga memandangkan pementasan teater itu adalah sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu.
“Ini adalah kali kedua saya berlakon teater. Cuma sebelum ini saya bawak watak sampingan dalam teater komedi. Berbeza kali ini saya bawa watak utama yang merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan kita dahulu.
“Selain wataknya agak berat, apa yang mencabar saya adalah dialognya yang panjang, berjela-jela dan penggunaan Bahasa Melayu zaman 50-an.
“Ia tidak mudah dan memerlukan kajian yang teliti memandangkan cara bercakap dahulu dan kini sangat berbeza. Saya banyak dibantu oleh pengarah dan pasukan teater ini. Jadi mudah dan lancar sepanjang latihan berjalan,” katanya.
Selain itu, kongsi Shah, walaupun dia mahukan lebih lagi waktu latihan, namun semangatnya dalam menjayakan teater ini mengatasi kebimbangan itu.
“Kalau ikutkan, sebenarnya latihan selama dua bulan tak cukup untuk memantapkan dialog saya. Kalau boleh saya mahukan empat bulan.
“Namun, peluang dan sokongan yang diberikan oleh pihak penerbit iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) serta pasukan yang bagus, membuatkan saya bersedia beraksi di pentas. Saya harap para penonton dapat terima Ahmad Mutawakkil versi saya nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Siti Fadilah Ramli pula berkata, teater ini merupakan karya pertama yang akan diterbitkan oleh PPj dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai hub seni budaya terutamanya teater.
“Hasrat ini adalah selaras dengan matlamat untuk menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat yang seimbang dalam kalangan komuniti dari aspek kesihatan fizikal dan mental seperti dihasratkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Cadangan asal pementasan teater ini adalah hasil cetusan idea Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud yang ingin melihat Putrajaya menjadi destinasi bagi penggiat seni teater berkarya.
“Ini kerana kemudahan infrastruktur sedia ada di sini amat sesuai menjadi lokasi perkembangan seni dan budaya,” ujarnya.
Persembahan teater yang julung kalinya diadakan pada skala besar itu adalah sempena penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2024.
Teater ini akan dipentaskan pada 20 September 2024, pada pukul 8.30 malam, 21 dan 22 September 2024 (2.30 petang) bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks PPj.