KUALA LUMPUR : Penganjur Konsert Udit Narayan Live in Kuala Lumpur, VVST Digital Creation, Gunasegaran Palanisamy mengakui membelanjakan jutaan ringgit untuk membawa masuk penyanyi bertaraf legenda itu ke sini.
Gunasegaran, berkata pihaknya sanggup mengeluarkan kos yang tinggi demi memberikan hiburan bertaraf antarabangsa buat pencinta lagu Bollywood di negara ini.
“Ya tak dinafikan untuk membawa masuk Udit Narayan menelan belanja yang tinggi.
“Kalau boleh kami tidak mahu dedahkan kerana ramai yang akan terkejut setelah mengetahui kos sebenar.
“Udit adalah seorang legend dan pada konsert itu nanti, dia juga akan membawa ‘team’ nya. Jadi kos jutaan ringgit itu termasuk rombongannya sekali,” katanya pada sidang media Konsert Udit Narayan Live In Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.
Sementara itu, Pengarah First Pictures Sdn Bhd, Dzulhilmi Zainol, pula berkata biarpun keuntungan tidak besar tetapi demi peminat, pihaknya sanggup membawa masuk penyanyi lagenda yang terkenal dengan lagu Kaho Naa Pyaar Hai.
Ditanya mengenai proses membawa masuk penyanyi itu, Dzulhilmi berkata pihaknya mengambil masa selama empat bulan untuk memujuk Udit.
Bagaimanapun prosesnya berlangsung dengan mudah kerana penyanyi berusia 68 tahun itu memang sudah lama mengimpikan peluang mengadakan konsert di sini.
“Kami mula melamar Udit sekitar Oktober tahun lalu. Walaupun beliau satu nama besar dalam industri muzik Bollywood, tapi segala proses berjalan dengan mudah.
“Kami mendapat persetujuan dengan Udit pada April tahun ini. Kalau ikutkan jadual seninya sangat padat kerana ada beberapa konsert besar di negara lain, tapi kami berjaya dapatkan persetujuannya,” katanya.
Penyanyi berusia 68 tahun itu dijangka membawakan 40 seleksi lagu popularnya dalam konsert yang dijangka berdurasi tiga jam.
Penganjur turut memaklumkan bakal mengundang tiga penyanyi Bollywood dan seorang penyanyi tempatan yang bakal diumumkan dalam waktu terdekat.
Tiket Konsert Udit Narayan Live In Kuala Lumpur 2024 sudah mula dijual bermula hari ini pada harga RM148 hingga RM1466.