Bagus juga orang tanya agar dapat doakan saya bertemu jodoh - Nadia Brian - Utusan Malaysia

Bagus juga orang tanya agar dapat doakan saya bertemu jodoh – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelakon, Nadia Brian, mengakui tidak tersinggung atau berasa rimas setiap kali menerima pertanyaan tentang jodoh selagi dirinya masih memegang status ‘single’.

Ini kerana, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi menyifatkan segala pertanyaan itu merupakan doa yang baik buat masa hadapannya.

“Saya tidaklah rimas, sebab perkara itu macam orang nak ambil tahu, mestilah sudah tentu saya nak minta juga orang lain tolong mendoakan.

“Bagus juga bila orang tanya-tanya ini, supaya orang boleh doakan semoga saya dapat jodoh yang baik, dapat anak serta berbahagia hingga hujung nyawa. Saya nak bahagia seperti itu. Jadi saya tak kisah orang bertanya,” katanya.

Nadia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios, Putrajaya baru-baru ini.

Selain itu, Nadia juga sentiasa positif apabila soalan mengenai pasangan diajukan padanya.

“Bagi saya, itulah lumrah kehidupan. Biasalah namanya manusia mesti nak berpasangan, berumah tangga, dan ada anak. Jadi, tak ada masalah pun kalau orang asyik bertanya dan saya anggap ia sebagai doa. Tapi bila orang tak tanya nanti pelik pula orang tak tanya,” katanya.

Dalam pada itu, bintang filem Eva ini tidak menafikan dirinya ada didekati golongan lelaki yang mahu berkenalan dengannya.

Namaun, katanya, berikutan faktor sibuk dengan karier seni serta ada perniagaan yang perlu diuruskan, maka soal cinta itu diketepikan dahulu.

“Saya tak nafikan banyak jugalah menerima Direct Message di Instagram (IG) daripada mereka yang mahu berkenalan, berkawan. Tapi, saya ini sangat sibuk bekerja sekarang.

“Jadi, saya tak tahulah siapa boleh bersama dengan saya yang selalu sibuk ini. Saya kena hadkan waktu jugalah apabila sudah sampai tahap usia tertentu.

“Tapi jujurnya saya belum bertemu lagi. Sudah tentu kita mahu yang terbaik untuk kita, kita mahu hubungan berpanjangan jadi insyaAllah doa yang baik-baik,” katanya.

Terdahulu, Nadia dan bekas suaminya, Muizz yang juga ahli perniagaan bernikah pada 9 November 2019 dan rumah tangga mereka hanya bertahan selama empat bulan.

Dalam perkembangan lain, Nadia akan membintangi filem Duyung: Legenda Aurora yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Atu Zero, Sharif Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.

Penggambaran Duyung: Legenda Aurora bakal berjalan dari 13 September sehingga 13 Oktober depan di Pulau Paya, Langkawi, Lembah Klang dan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya