KUALA LUMPUR : Setelah lama menjalin hubungan cinta, penyanyi dan pelakon kelahiran Indonesia, Al-Ghazali dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Alyssa Daguise.
Ia sejurus selepas anak sulung penyanyi Ahmad Dhani itu dilihat melamar kekasih hatinya itu pada 21 September yang lalu di Lake Como, Italy, menerusi beberapa keping gambar yang dikongsikannya di Instagram.
Bahkan pada ruangan kapsyen, Ghazali juga menulis perkataan ‘sweet‘ merujuk kepada kekasih hatinya itu selain membuat luahan di ruangan yang sama.
“Buat Alyssa Paramitha Daguisé, terima kasih atas segala yang kau ada. Mencintaimu adalah satu keistimewaan.
“Dan dicintai olehmu adalah satu anugerah. Denganmu di sisiku, aku adalah lelaki paling bahagia di dunia. Dan mulai hari ini, aku berjanji untuk memberikan segalanya kepadamu dan lebih lagi. Inilah untuk selamanya!”ujarnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata selebriti Malaysia meninggalkan komen tahniah buat Ghazali dan Alyssa. Antara selebriti yang mengucapkan tahniah buat mereka ialah Fazura dan Mimi Lana.
Menurut laporan media Indonesia, pasangan ini telah menjalin hubungan sejak 2016.
Namun, mereka berdua sempat berpisah sementara waktu pada tahun 2022 sebelum nekad melanjutkan perkenalan ke fasa lebih serius pada tahun ini.