KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syamel, 31, tidak mengiyakan atau menidakkan dakwaan isterinya yang juga penyanyi, Ernie Zakri, hamil anak kedua mereka.
Menurut Syamel, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, dia enggan menidakkan rezeki dan kurniaan Allah namun buat masa ini masing-masing memilih untuk memberi ruang pada kerjaya.
“Kalau ada rezeki anak kedua, kami berdua tidak pernah menidakkan atau menolak cuma buat masa sekarang ini saya gembira dan Ernie pun gembira tengok saya bekerja dan saya pun gembira tengok Ernie bekerja.
“Jadi sebelum Ernie berehat untuk sembilan bulan, saya gembira tengok dia bekerja jadi biarlah kami berdua bekerja dan Khawla pun sekarang tengah bekerja.
“Disebabkan itu saya tidak menidakkan semua itu, cuma buat masa sekarang Ernie pun tengah ‘all out’ bersenam, jadi tak naklah saya bunuh semangat dia. Tapi kami tak menolak jika ada rezeki daripada Allah,” katanya.
Syamel menjawab dakwaan itu ketika ditemui di sidang media pelancaran single terbaharunya, Hamba Cinta baru-baru ini.
Turut hadir memberi sokongan pada majlis itu adalah Ernie dan anak mereka, Nur Khawla Soleha.
Berkongsi mengenai singlenya ciptaannya bersama Yusuff Khan, Adam Armi dan Adly Kiddy itu, Syamel berkata dia mendapat idea ketika bertemu dengan peminatnya ketika keluar joging di sekitar Bangsar.
Berterima kasih dengan idea yang diperoleh dari peminatnya itu, Syamel berkata dia memilih untuk abadikan idea itu menerusi bunyian berbeza daripada apa yang pernah dikeluarkan sebelum ini.
“Lagu berentak pop jazz itu dilihat sedikit lari daripada kebiasaan ini memberi semangat baharu pada saya. Sebagai penyanyi saya mahukan kelainan dalam repertoire sendiri terutama bila mengadakan persembahan.
“Semua pendengar mahu gembira menikmati muzik dan saya sendiri tidak mahu memberikan lagu
berentak perlahan atau balada semata-mata,” katanya.
Hamba Cinta adalah permulaan kepada sebuah transisi besar yang akan berlaku kepada perjalanan seninya memandangkan dia bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia sudah merancangkan mahu menerbitkan sebuah album penuh bagi melengkapkan profil seninya.
Lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album berkenaan terdiri daripada pelbagai genre seperti pop rock, RNB, pop jazz selain lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya sejak memulakan karier seni.
“Selain sibuk mempromosikan Hamba Cinta, saya juga sedang sibuk mengumpul dan menerbitkan bahan baharu untuk album tersebut. Semua itu perlukan masa dan saya tak mahu tergesa-gesa menerbitkan tanpa sebarang persediaan.
“Saya gembira kerana pihak syarikat rakaman memberikan kebebasan untuk berkarya dan banyak kelainan akan diberikan demi memastikan peminat puas dengan naskhah baharu,” katanya.
Meskipun mahu berubah angin, Syamel tidak akan sesekali meninggalkan lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya.
Berani memberikan kelainan, Hamba Cinta turut hadir dengan versi dangdut sebagai memenuhi kehendak semasa.
“Idea untuk menghasilkan lagu versi dangdut ini terhasil apabila melihatkan trend di TikTok.
Saya mahu peminat mendengar dan melayan lagu ini sambil menari dan sebagainya. Bila melihatkan banyak versi begini mendapat sambutan, saya ambil cabaran ‘terjun’ sama,” katanya yang sedang merancang untuk mengadakan konsert solo sebagai simbolik kepada ucapan terima kasih
kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seninya.