KUALA LUMPUR : Penyanyi, Amir Masdi, 27, mengakui buat masa ini dirinya tidak memikirkan soal cinta mahupun membayangkan dirinya berumah tangga kerana mahu mengutamakan kerjaya seninya terlebih dahulu.
Bukan mahu memberi alasan, tetapi menurut Amir, kesibukan juga menjadi antara faktor utama mengapa dirinya enggan memikirkan soal jodoh.
“Bagi saya, sekarang ini saya masih tidak mahu ada lagi kekasih hati sebab saya mahu fokus kepada penghasilan album dahulu.
“Saya pun terlalu sibuk siapkan lagu-lagu saya siang dan malam, ada persembahan, kerja di pejabat juga saya lakukan.
“Macam semua tahu, perbelanjaan saya semuanya sendiri dan semua benda yang saya buat pun sendiri saja. Jadi memang tak ada masa nak fikir mengenai soal cinta atau ada pasangan,” katanya.
Amir berkata demikian ketika ditemui di Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, amir tidak menolak dia berkawan dengan sesiapa sahaja meskipun belum memikirkan mengenai soal jodoh.
“Jadi, daripada situ saya terfikir, kalaulah saya ada teman wanita pun, saya rasa pada ketika itu bukanlah masa yang terbaik sebab sekarang ini saya betul-betul nak fokus kepada kerja saya.
“Saya ini jenis yang berkawan dengan semua orang. Saya tidak tahu la kalau ada orang tu cuba untuk dekati saya atau tidak. Kalau berkawan itu ada,”katanya.