Ustaz Don pernah jadi guru taska, ajar bahasa Inggeris

Ustaz Don pernah jadi guru taska, ajar bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal, 40, mendedahkan pengalaman pernah bergelar seorang guru tadika telah menguatkan minatnya untuk mendalami kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

Ustaz Don berkata, dia diberi kepercayaan untuk mengajar subjek bahasa Inggeris di sebuah taska di Seberang Perai, Pulau Pinang ketika masih menunggu surat tawaran melanjutkan pengajian.

“Tempoh saya mengajar tidak terlalu lama kerana bertugas sebagai guru sementara. Ketika itu saya mengajar kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

“Setiap petang saya akan berkumpul dengan mereka untuk bercerita tentang kisah nabi.

“Boleh dikatakan mereka ini juga yang membantu saya membentuk keyakinan diri untuk berani bercerita dalam menyampaikan dakwah,” katanya.

Don ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Majlis menandatangani kerjasama diantara Hive Deal Sdn. Bhd. bersama Agami Group Sdn. Bhd yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Don mengakui mendekati kanak-kanak mengajarnya untuk menjadi insan lebih jujur di samping membentuknya menjadi seorang pendakwah.

Malah Don juga bersyukur kerana diberi peluang itu kerana pada waktu itu, guru lelaki sukar untuk diterima mengajar di tadika.

“Waktu itu tiada tadika yang ingin menerima guru lelaki untuk mengajar kerana bimbang jika macam-macam perkara boleh berlaku.

“Mujurlah pengasas tadika itu kawan kepada ibu saya dan dia beri saya peluang untuk mengajar di sana.

“Kanak-kanak adalah insan yang jujur dan mereka juga boleh membaca kejujuran dalam hari anda,” ujarnya.

Susulan itu, Don dilantik sebagai Pengasas Bersama dan Penasihat Akademik Islamik KinderHive iaitu sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak dengan berkonsepkan nilai-nilai Islam.

Kata Ketua Pegawai Eksekuti Hivedeal Sdn Bhd iaitu Khairul Nazli Mohd Ali, pemilihan Don dibuat berdasarkan pengalaman pernah menjadi guru tadika dan mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.

“Kami percaya dengan kepakaran ilmu Ustaz Don termasuk pasukan Agami Group (syarikat milik Don) dan KinderHive akan membantu untuk memberikan pendidikan terbaik buat kanak-kanak.

“Dia (Don) memiliki personaliti yang mudah didekati dan pemilihannya sangat sesuai selain Don juga dikenali tidak mengira peringkat usia dewasa atau kanak-kanak,” katanya.

KinderHive kini memiliki empat cawangan di Selangor iaitu di Elmina, Banting dan Seksyen 8, Shah Alam merancang untuk membuka sekitar 15 cawangan baharu lagi pada 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN