Tom Cruise selesai 'misi' serah bendera Olimpik ke LA - Utusan Malaysia

Tom Cruise selesai ‘misi’ serah bendera Olimpik ke LA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kemunculan bintang ternama Hollywood, Tom Cruise, ke Stade de France menggamatkan lagi acara penutup Sukan Olimpik 2024 apabila pelakon berkenaan melakukan aksi bak filem Mission Impossible bagi membawa dan menyerahkan bendera sukan kepada tuan rumah seterusnya iaitu Los Angeles untuk tahun 2028.

Membuat terjunan dari bumbung stadium berkenaan dengan penuh bergaya, Tom memukau semua penonton dari serata dunia menerusi aksi lasak yang dilakukannya sendiri itu.

Sebelum itu, satu video gimik menunjukkan pelakon berusia 62 tahun itu menaiki sebuah motosikal yang ditunggang laju melepasi Menara Eiffel terus ke sebuah pesawat dipaparkan di skrin.

“Saya dalam perjalanan,” katanya sambil mengenakan kelengkapan skidiving dengan berlatarkan lagu By the Way nyanyian kumpulan Red Hot Chili Pepper.

Tom kemudian melompat dari kapal terbang menuju ke mercu tanda ikonik Hollywood sebelum menukar huruf O kepada bulatan Olimpik sebelum menyerahkan bendera kepada wakil Amerika Syarikat yang juga tuan rumah musim 2028.

Sorakan gemuruh bergema di Stade de France sebaik fokus lampu sorot dan kamera dihalakan ke Cruise yang sudah bersedia untuk terjun dan melaksanakan aksi yang menjadi sebutan ramai itu.

Aksi yang dilakukan Tom itu sekali gus menamatkan kemeriahan temasya Sukan Olimpik selepas 16 hari berlangsung dengan pengisian penuh suka duka di Perancis.

Lebih 10,500 atlet daripada 205 delegasi berkumpul di stadium terbesar negara itu, manakala obor Olimpik yang dibawa perenang, Leon Marchand, sekali lagi menjulang di City of Light.

Dalam upacara penutup selama empat jam penonton dihiburkan dengan persembahan Billie Eilish, Snoop Dogg dan Dr. Dre secara langsung dari Pantai Venice.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengisytiharkan temasya itu berakhir secara rasmi dengan penyanyi Perancis, Yseult, mempersembahkan lagu My Way.

Acara penutup diakhiri percikan bunga api mega yang menyinari langit sekitar Stadium Stade de France.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya