KUALA LUMPUR : Pelakon, Elfira Loy tidak menolak, dalam usaha memperbaiki kelemahan diri dan berhijrah ke jalan yang baik, dia mengambil inisiatif memperbanyakkan bacaan buku berbentuk ilmiah.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Elfira berkata, dia berbuat demikian kerana hatinya terdetik perasaan takut akan akhirat.
“Langkah pertama saya adalah baca buku ilmiah sebenarnya. Saya banyak membaca selama tiga tahun. Lepas itu, saya buat keputusan untuk memakai tudung.
“Masa itu, saya rasa takut kalau tak pakai tudung saya akan buat benda-benda tak syok. Sebab ada orang kata umur 21 tahun dah dapat kebebasan. Tapi waktu itu saya rasa takut jadi saya pakai tudung.
“Dengan pakai tudung inilah sebenarnya mendorong saya untuk menjadi lebih baik. Walaupun masih belum sempurna,”katanya.
Dalam pada itu, Elfira berkata, dia membuat keputusan untuk memakai tudung sebagai peringatan untuk tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
“Tapi ia adalah peringatan buat saya, jadi saya suka pakai tudung. Ini sajalah yang buat saya rasa diri ini melakukannya kerana Allah bukan sebab orang atau sebab ibu bapa. Tetapi untuk diri sendiri.
“Bagi saya, inilah langkah pertama saya, kita adalah kena takut dosa dan akhirat,”katanya.
Elfira mula membuat perubahan memakai tudung pada tahun 2015 dan sebelum mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairol Anwar pada 1 Januari 2019.