KUALA LUMPUR : Pelakon, Ruhainies, 32, mendedahkan, dia terkejut apabila namanya tiba-tiba dipetik berhubung isu seorang selebriti tempatan didakwa cuba memikat teman lelaki kepada aktres Thailand, Bow Maylada iaitu aktor, Alek Teeradetch.
Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dia tidak menafikan mengenali dua pelakon tersebut namun mengakui cuma kenalan biasa.
Malah, kata Ruhainies, dia juga hanya bertemu mereka ketika sama-sama pergi ke Kazakhstan atas urusan kerja.
Jelas pelakon ini, dia nendaoat tahu mengenai berita tersebut selepas sebuah portal menerima satu e-mel layang yang dikirim pihak tidak kenali didakwa cuba memburukkan namanya.
“Berita itu timbul selepas sebuah portal terima satu e-mel layang daripada ‘anonymous’ dan saya tidak rasa e-mel itu dikirim sendiri oleh pelakon wanita dan lelaki Thailand itu.
“Mustahil juga mereka tahu e-mel portal tempatan kan. Mereka pula artis terkenal, tiada masa nak buat begitu.
“Memang saya dan dua pelakon itu ada pergi ke Kazakhstan bersama beberapa lagi individu, namun itu atas urusan kerja. Saya kenal mereka pun di sana dan tidak lebih daripada kenalan biasa,”katanya.
Dalam pada itu, Ruhainies mendedahkan e-mel layang sedemikian sudah beberapa kali berlaku sejak Mac lalu yang didakwa sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab kemungkinan bertujuan mahu menutup periuk nasinya.
“Sebenarnya e-mel sebegitu yang cuba jatuhkan saya bukan sekali dua berlaku, tetapi sudah banyak kali. Pihak itu juga sengaja buat cerita tidak benar dan e-mel kepada jenama-jenama yang bekerjasama sdengan saya dan nama saya jadi buruk.
“Saya rasa ada pihak yang dibayar buat demikian dan saya tahu siapa yang buat, sebab boleh semak IT e-mel itu. Apa-apa pun perkara ini masih dalam siasatan. Kes e-mel layang yang mahu jatuhkan nama saya ini berlaku sejak Mac lalu,”katanya.
Bagaimanapun, pelakon drama Terjerat itu berkata, dia percaya setiap rezeki sudah diaturkan Allah meskipun ada pihak yang berniat tidak baik mahu menjatuhkannya.
“Apa pun saya percaya rezeki datang dari Allah. Seberapa banyak pihak ‘anonymous’ itu cuba jatuhkan saya, kalau rezeki Allah sudah tertulis, tiada yang dapat halang,”katanya.
Terdahulu, seorang selebriti tempatan didakwa cuba memikat teman lelaki kepada aktres Thailand Bow Maylada iaitu Alek Teeradetch yang juga aktor ketika menyertai satu percutian, baru-baru ini.
Perkara tersebut didedahkan seorang individu yang memaklumkan selebriti tempatan itu turut mencuba nasib mengurat seorang lelaki bernama Erik.
Meskipun tidak mendedahkan mana-mana selebriti, namun rata-rata warganet memetik nama Ruhainies selepas mereka mendapatkan bayangan daripada e-mel tersebut.