Terima gambar lucah, Sophia Barakbah kumpul bukti ambil tindakan - Utusan Malaysia

Terima gambar lucah, Sophia Barakbah kumpul bukti ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sering menerima gambar-gambar lucah daripada pengguna media sosial yang tidak bermoral, pelakon, Sophia Albarakbah,31, bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua yang terlibat.

Menurut Sophia, ia termasuk mereka yang meninggalkan komen berbaur lucah atau hinaan terhadap dirinya.

“Saya banyak terima ‘direct message’ (DM) yang tidak senonoh. Saya tidak tahu jika bagi mereka adakah ini perkara lawak dengan menghantar DM tidak senonoh seperti itu.

“Saya sedang menyimpan bukti, semua DM atau komen yang teruk seperti makian dan perkara tidak senonoh semua saya buat tangkap layar untuk dijadikan bahan bukti supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Terserah kepada kalian semua jika mahu terus melakukan perkara itu. Ada banyak yang saya nampak tinggalkan mesej tidak senonoh, jadi saya simpan semuanya sebagai bahan bukti,” katanya.

Sophia berkata demikian semasa ditemui pada sesi tayangan perdana dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Harimau Malaya di GSC The Starling, di sini, semalam.

Selain itu, Sophia berkata, dia juga menerima pelbagai mesej berbaur kebencian tanpa sebab daripada pengguna media sosial.

“Saya tidak pasti sejak bila perkara ini berlaku, tapi bila saya buka sahaja DM, memang ada banyak mesej tidak senonoh dan berbaur kebencian. Ada juga yang bersungguh-sungguh membenci tanpa sebab.

“Ada dua perkara saya terima, iaitu mesej tidak senonoh terutama daripada lelaki. Satu lagi adalah mesej memaki hamun tanpa sebab spesifik.

“Saya tak tahu motif mereka. Boleh dikatakan kira-kira 50 peratus DM saya dipenuhi dengan mesej lucah, tapi saya tidak terus sekat sebab mahu kumpul bukti,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan kesihatan mentalnya sentiasa dalam keadaan baik, kata Sophia, dia selesa memilih untuk tidak membaca sebarang komen negatif.

“Pada awal sudah tentu saya terkesan dengan perkara ini. Tapi, saya tetap perlu bekerja dan hidup seperti biasa. Jadi, saya cuba untuk tidak terlalu baca semua komen atau mesej sebegitu.

“Saya cuba tapis perkara yang tidak baik seperti itu,” katanya.

Terbaharu, Sophia membintangi filem Harimau Malaya arahan Datuk Afdlin Shauki yang akan menjengah pawagam tempatan mulai 15 Ogos ini.

Sophia menerusi filem tersebut berada sebaris dengan pelakon lain seperti Meerqeen, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Nam Ron, Bell Ngasri, Amelia Henderson, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya