KUALA LUMPUR : Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) mengambil inisiatif mengubah skrip dan jalan cerita pementasan Teater Dang Anum (The Untold Story) mengikut kisah sebenar dan sejarah asal yang selama ini tidak diketahui rakyat.
Menurut Pengarahnya, Amirul Haswendy Ashari, langkah itu diambil kerana selama ini masyarakat sudah diterapkan dengan kefahaman yang salah mengenai kisah legenda Dang Anum dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Katanya, sebelum ini, kefahaman masyarakat adalah berkaitan kekejaman Sultan Mahmud, sultan terakhir dari susur galur kesultanan Melaka yang menduduki takhta sebagai sultan di Kerajaan Johor Lama.
“Mengikut kisah legenda rakyat yang kita semua tahu selama ini, Sultan Mahmud menjatuhkan hukuman membelah perut Dang Anum yang sedang sarat mengandung apabila dia kononnya didapati bersalah mengambil seulas nangka kerana mengidam.
“Namun pada penggambaran dokumentasi khas di Kota Tinggi selepas pementasan Teater Dang Anum tahun 2023 lalu, kami mendapati kisah Dang Anum dibelah perut kerana seulas nangka adalah rekaan semata-mata,” katanya.
Amirul berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pementasan teater tersebut di Park Inn by Radisson, Putrajaya, baru-baru ini.
Jelas Amirul, perkara ini didedahkan Persatuan Sejarah Malaysia di Kota Tinggi, Johor melalui sesi temuramah eksklusif yang kini boleh ditonton di Youtube rasmi The Redholah.
“Selama berpuluh tahun, kita dimomokkan dengan kekejaman Sultan Mahmud dan penderhakaan Laksamana Bentan melalui filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961) dan Dang Anom (1962), selain pelbagai rendisi pementasan dua kisah itu di pentas teater.
“Jadi saya dan seluruh pasukan produksi berhasrat mahu mendidik dan menerapkan fakta sejarah sebenar mengenai kisah ini kepada masyarakat menerusi langkah mengubah skrip dan jalan cerita mengikut kisah sebenar yang orang ramai tidak tahu,”katanya.
Dalam pada itu, Amirul turut mengakui pihaknya berdepan cabaran mendapatkan penajaan untuk Dang Anum (The Untold Story) kerana dana diterima dari Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang diterima agak terhad.
Ia berikutan, teater Dang Anum (The Untold Story) bukan sahaja dipentaskan di Putrajaya, tetapi turut bakal diadakan di Melaka dan Johor Bahru pada Oktober dan November ini.
Pada masa sama, kata Amirul, The Redholah akan menjalani penggambaran dokumentasi khas siri kedua untuk menyingkap kisah lanjut Laksamana Bentan dan Dang Anum yang dipercayai mempunyai pewaris keturunan di sekitar Kepulangan Riau dan Batam, Indonesia.
“Sejujurnya memang agak terkilan dengan jumlah dana diterima apatah lagi The Redholah baru menjengah tahun kedua penubuhan dan masih memerlukan sokongan dari semua pihak untuk melestarikan seni budaya tempatan.
“Tapi apakan daya, kami terpaksa menerima keputusan itu dengan berat hati, namun berharap usaha kami ini tidak disia-siakan pihak-pihak berkaitan,” katanya.
Teater Dang Anum (The Untold Story) merupakan projek pementasan teater melalui GSSK bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Teater kali ini kembali menampilkan Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish dan ramai lagi, selain penampilan sulung Zalif Sidek di pentas teater.
Jualan tiket untuk menonton teater ini mula dibuka mulai 25 Ogos 2024 pada harga bermula RM25 hingga RM65.
Untuk perkembangan lanjut mengenai aktiviti persatuan, sila ikuti laman sosial Instagram, Facebook dan Tiktok The Redholah atau menghubungi talian 014 368 5233 atau emel ke [email protected] .