KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pendakwah bebas, Da’i Syed, menggesa golongan ibu bapa yang baharu sahaja menimang cahaya mata supaya tidak mempercayai amalan khurafat ketika menanam uri bayi.
Menerusi perkongsiannya di Instagram Story (igs), Syed berkata, hukum menanam uri bayi adalah sunat namun tidak sepatutnya dilakukan bersama amalan meletakkan barangan lain bersamanya ketika ditanam.
“Hukum menanam uri adalah sunat. Uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
“Uri sesuatu yang suci dan perlu dihormati. Tidak boleh dibakar atau dijual. Masa tanam tu baca lah apa-apa zikir atau surah.
“Dan mempercayai amalan menanam uri bayi dengan paku, pensel, buku, pembaris, periuk nasi atau apa-apa sajalah dengan mempercayai untuk anak bijak atau rajin ini adalah amalan Khurafat,” tulisnya.
Menerusi hantaran yang sama, Syed berkongsi video rakaman dirinya sedang menanam uri cahaya mata sulungnya, Sharifah Fatman Nour Jamalullail yang baharu sahaja dilahirkan lima hari lalu.
Sementara itu, menerusi satu hantaran lain oleh Hana Ismail, isterinya itu memberitahu kini rutin harian mereka sudah berubah sejak dikurniakan dikurniakan puteri sulung mereka itu.
Hana memaklumkan, suaminya kini cuma dapat melelapkan mata pada pukul 7 pagi gara-gara menjaga anak mereka saban malam.
Untuk rekod, Da’i Syed mendirikan rumah tangga dengan Hana Ismail pada 3 Disember 2022.