KUALA LUMPUR : Penyanyi, Nur Fatima, mengakui bukan mudah untuk seseorang artis atau penyanyi itu mengekalkan kedudukan dalam industri seni meskipun sudah meraih pengalaman cukup lama dalam bidang tersebut.
Menurut Fatima, perkara itu terjadi kepada dirinya setelah 25 tahun berada dalam industri seni dan sehingga kini dia juga masih bergelut membina nama dengan mencuba menghasilkan banyak karya-karya lagu.
“Walaupun sudah bertahun lamanya menjadi anak seni, saya akui, cabarannya tetap ada. Untuk terus kekal dalam industri ia sangat mencabar memandangkan persaingan kuat.
“Namun, saya tidak pernah berputus asa dan memberanikan diri untuk melakukan kerja-kerja di belakang tabir. Malah, saya juga mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.
“Itu semua antara usaha saya untuk memastikan diri mampu kekal relevan selain enggan mensia-siakan bakat yang ada,”katanya.
Pada masa yang sama, Fatima berkata, dia menyokong kehadiran bakat-bakat baharu dan menganggap mereka adalah pelapis dalam industri seni.
Bagaimanapun, sebagai artis senior, penyanyi lagu Sutera ini menasihatkan supaya artis yang lebih muda tetap mengutamakan pelajaran dan tidak ghairah mengejar populariti semata.
“Saya nasihatkan buat pendatang baharu agar utamakan pelajaran dahulu sebelum memilih bidang ini atau apa-apa bidang sekali pun. Bagi saya, pelajaran bukan sahaja memberi ilmu tetapi memupuk disiplin.
“Paling penting sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, harus berani serta jangan cepat berputus asa,”katanya.
Dalam pada itu, setelah tiga tahun tidak menghasilkan lagu baharu, Fatima tampil dengan single berjudul Ku Cuba yang turut mendapat sentuhan komposer terkenal Sharon Paul dan penulis lirik, Shah Shamshiri.
Menurut Fatima, dia mengakui mengambil masa yang lama untuk menghasilkan material baharu kerana masih mencari karya terbaik untuk diketengahkan.
“Kali terakhir saya muncul dengan single Galeri dan sejak pandemik Covid-19, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan single baharu kerana merasakan genre balada lebih sesuai dengan suara dan imej saya.
“Lagu ini pada awalnya telah dicadangkan untuk dua orang penyanyi dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi ‘power’ sebelum saya, namun pihak pengurusan dan penerbit muzik sendiri berpendapat ia lebih sesuai dinyanyikan oleh saya.
“Selain mempunyai makna tersendiri, boleh dikatakan agak lama juga saya ‘bertapa’ di studio untuk menghayati liriknya bagi memastikan Sharon betul-betul berpuasa hati.
“Saya berharap semoga lagu ini mendapat sambutan yang baik dari pendengar, menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya serta mengubat kerinduan peminat-peminat saya semua,”katanya.