KUALA LUMPUR : Penyanyi rap dan komposer muda, Yonnyboii, 25, mengakui kini sedang menikmati momen indah sebagai seorang bapa sejak dikurniakan putera sulung, Kairo, sekali gus melengkapi kehidupan keluarga kecilnya bersama isteri, Nik Nazira Narriman.
Menurut Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, anaknya yang ini berusia setahun juga sudah pandai melakukan aksi comel selain semakin lasak dan manja dengannya.
“Sekarang ini saya benar-benar menikmati momen seorang bapa yang mahu melihat dan membesarkan anak di depan mata. Anak saya juga sudah pandai berjalan, adakala semakin lasak, bijak serta makin manja.
“Boleh dikatakan, hidup saya sekarang tak rasa sunyi bila ada isteri dan anak. Kalau tak ada anak di depan mata, sekejap sahaja sudah jadi rindu. Lebih-lebih lagi kalau saya terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja contohnya macam ada show.
“Kalau di rumah, anak pula memang tidur dengan saya, jadi memang rasa pelik kalau dia tak ada dengan kita bila terpaksa berjauhan. Rasa macam tak sempurna pun ada,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Selain itu, kata Yonny, dia dan isteri juga lebih selesa untuk tidak mengambil pembantu atau menghantar anak mereka untuk diasuh orang lain kerana bimbang akan faktor keselamatan.
Ini kerana, kata Yonny, banyaknya kes atau isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak oleh pengasuh menjadikannya semakin sukar meletakkan kepercayaan kepada orang lain untuk menjaga anak kesayangannya.
“Tak mahu hantar ke mana-mana pengasuh. Biarlah kami sendiri yang asuh sebab tak percayakan langsung pada orang lain. Banyak kes dera dan macam-macam lagi melibatkan kanak-kanak membuatkan kami bimbang.
“Tak cuma di luar negara, di dalam negara pun ada kes yang teruk juga. Saya pula kalau dengan anak, terkasar sikit pun tak pernah. Kita sayang anak, dan ada cara tersendiri.
“Anak saya pula memang ‘daddy’s boy. Memang sangat manja dengan saya, jadi biarlah saya dan isteri jaga sendiri,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan kerjaya, kata Yonny, dia kini sedang merancang untuk menghasilkan single baharu yang berbeza dengan nuansa halwa bunyi kebiasaan.
Katanya, demi memastikan buah tangannya kedengaran lebih segar, penting baginya untuk mencari bunyi yang baharu dan berbeza daripada lagu-lagu hits sebelum ini.
“Kalau boleh nak cari lagu yang ke arah pop sikit sebab selalunya saya akan tampil dengan lagu dengan bunyi ‘dark’. Sekarang saya tengah kumpul bahan lagi. Insya-Allah, kalau tiada aral, saya rancang nak keluarkan lagu baru tahun depan,”katanya.
Sekadar info, Yonnyboii dan Nik Nazira mendirikan rumah tangga pada 20 November 2021.