KUALA LUMPUR : Pelakon, Zain Saidin, 40, mengakui tidak tahu apakah kesalahan dirinya sehingga namanya sering ditolak stesen televisyen tempatan.
Menurut Zain, keadaan itu sudah terlalu sering menimpa dirinya menyebabkan ramai tersalah sangka bahawa dia seakan tidak sudi lagi meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.
Menafikan hal tersebut, Zain berkata, dia tidak pernah berhenti berlakon malahan sentiasa menunggu tawaran daripada mana-mana penerbit dan pengarah.
“Bohonglah kalau saya tidak rasa kecewa apabila setiap kali produksi cadangkan nama saya, mesti tak lepas. Benda ini sudah banyak kali berlaku.
“Jadi, setiap kali dapat tawaran, saya akan minta pihak produksi semak dengan stesen TV dulu sebab saya tak nak susah payah ‘lock’ jadual, tapi kemudian tak jadi.
“Awal-awal dulu saya cuba bersikap positif, kalau tiada tawaran tak mengapa sebab saya ada bisnes kasut. Tapi, mungkin kerana selalu cakap begitu jadi produksi sangka saya sudah tak nak berlakon lagi,” katanya.
Selain itu, kata Zain, isterinya juga iaitu aktres, Rozita Che Wan atau Che Ta tidak pernah menghalangnya berlakon memandangkan memahami ia boleh dijadikan sumber pendapatan keluarga.
Bagaimanapun, Zain tidak menolak mungkin disebabkan berwajah kacukan menyebabkannya sukar mendapat watak bersesuaian.
“Sebelum drama Oh My English! saya tak berdepan sebarang masalah, malah pernah bawa pelbagai jenis watak.
“Tapi tawaran hampir tiada selepas drama berkenaan. Saya tak menolak mungkin wajah kacukan menyukarkan produksi untuk berikan watak bersesuaian, takkan selamanya saya nak bawa watak anak angkat.
“Saya faham situasi ini. Kerana darah Inggeris daripada ibu saya begitu kuat. Tetapi takkanlah tiada ‘job’ langsung untuk saya?,” keluhnya.
Sehubungan itu, Zain berharap penerbit dan pengarah dapat memberi peluang kepada dirinya untuk berlakon menerusi watak yang bersesuaian.