KUALA LUMPUR: Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal,23, mencetuskan tanda tanya ramai apabila dia dikatakan kini sedang hamil anak sulung hasil perkahwinannya dengan suami, Nasrullah Mohd Sapie, 23.
Perkara itu menjadi bahan bualan warganet dan peminat selepas Syasya memuat naik sebuah video di instastory yang secara tidak sengaja menampakkan ‘baby bumpnya’ ketika dia bersama suami bercuti di sebuah pulau.
Sebelum ini, pemilik nama Norsyasya Syafiqah Shahrizal ini juga pernah memuat naik beberapa hantaran yang seakan memberi bayangan dirinya sedang hamil cahaya mata pertama.
Namun perkara itu tetap disimpan kemas dan Syasya selesa memilih untuk tidak mencanangkannya kepada umum.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia mendapati, video yang dimuat naik Syasya itu kemudiannya telah dipadamkan.
Terdahulu, Syasya dengan secara rasminya mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan Dolla pada 8 April atas alasan peribadi.
Syasya kemudiannya melangsungkan majlis pernikahan dengan Nasrullah dalam satu majlis tertutup pada 21 April lalu.