Suami sakit, Dayangku Intan terkilan tak sempat ziarah Allahyarham Jay Jay - Utusan Malaysia

Suami sakit, Dayangku Intan terkilan tak sempat ziarah Allahyarham Jay Jay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Dayangku Intan, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat menziarahi rakan baiknya, Allahyarham Jay Jay, sewaktu penyanyi dan penerbit tersebut berada di hospital sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dayangku Intan berkata, dia perlu menguruskan suaminya yang sakit dan dimasukkan ke hospital susulan masalah buah pinggang yang dihadapinya.

“Saya dapat tahu arwah sakit sebelum ini tetapi tak sempat nak ziarah dia menyebankan timbul rasa terkilan. Saya tahu dia masuk Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ini dan ada juga saya cuba hubungi isterinya, Kak Eton, tetapi tak dapat.

“Dua perkara juga yang buat saya terkilan. Satunya, tak sempat ziarah dia di ICU, kedua kerana tak dapat terima pelawaannya untuk menjayakan sebuah konsert sebelum ini.

“Arwah Jay Jay ada ajak dan betul-betul mahukan saya terbabit sama. Tetapi apakan daya, saya sudah terikat dengan komitmen untuk menjayakan sebuah konsert lain waktu itu,”katanya.

Tambah Dayangku Intan, dia juga masih ingat Allahyarham pernah menyatakan keinginan untuk datang ke rumahnya apabila sihat tetapi tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Dia tahu saya duduk di mana dan mahu jumpa saya bersama isterinya sekali. Dia kata sudah lama tak berbual sama. Mengenali arwah, dia bukan jenis yang suka melepak merata.

“Kalau katakan dia ini seorang yang ‘eksklusif’ pun barangkali iya. Sebab dia biasanya suka buat apa pun sendiri. Kalau dia kata nak datang, itu bermakna dia memang nak jumpa sayalah itu.

“Tetapi nak buat macam mana, masing-masing juga sibuk hingga tak sempat nak lunaskan pertemuan sama,”katanya.

Kata penyanyi yang pernah berduet Allahyarham Jay Jay menerusi lagu hits Kita Insan Biasa, di matanya, sahabatnya itu merupakan seorang insan yang baik hati dan tidak pernah sombong.

Malah, dia dan Jay Jay banyak menyimpan kenangan manis bersama sebagai rakan industri selain amat berterima kasih kerana arwah merupakan antara individu penting yang menerbitkan album berjudul Suara Hati pada tahun 1988.

“Dia adalah penerbit kepada album berkenaan dan dia juga menghasilkan lagu hits Berpaut Di Dahan Cinta. Tidak cuma itu, banyak kenangan kami bersama sewaktu dia bersama kumpulan Carefree, sebelum dia berkahwin dengan Kak Eton.

“Sebenarnya, kami ini juga ada hubung kait keluarga kerana anak dia dan anak saya adalah sepupu. Tetapi tidak pernah saya ceritakan sebelum ini,”katanya.

Dalam pada itu, kata Dayangku Intan, dia reda dengan pemergian arwah sahabatnya itu meskipun tidak sempat bermaaf-maafan.

“Kalau kita faham akan kematian ini, kita akan reda dan tak akan terlalu bersedihan. Saya sendiri pun pernah diuji dengan pemergian anak, ibu dan keluarga. Usah simpan kesedihan keterlaluan kerana kita akan berjumpa juga suatu hari nanti di sana (akhirat).

“Saya pun sedang diuji dengan suami yang kerap kali sakit sekarang. Malah, dia juga baru sahaja sedarkan diri selepas sembilan hari ditidurkan di hospital kerana masalah buah pinggang yang dihidapi.

“Dia menggunakan buah pinggang saya sebelah, jadi keadaan itu menyebabkan dia akan cepat jatuh sakit.
Kalau selesema pun boleh jadi membahayakan kepada dia.Doktor pun ada cakap supaya sentiasa bersedia jika apa-apa terjadi kepada suami.

“Tetapi Alhamdulillah, dia telah kembali sedar. Cuma pemantauan yang kerap dan teliti perlu dilakukan lagi,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya