KUALA LUMPUR : Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) buat julung kalinya bakal mengadakan sebuah konsert muzik Borneo pada 7 September ini bagi meraikan keunikan muzik etnik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC.
Konsert ini merupakan testimoni terhadap komitmen MPO dalam menyediakan platform untuk persembahan muzik Malaysia dalam bentuk orkestra dan mempamerkan bakat anak seni tempatan dalam menyokong melestarikan seni budaya.
Bertemakan Sounds of Borneo, konsert ini meraikan muzik Borneo dan menyatukan rakyat Malaysia melalui nuansa muzik MPO dan kekayaan budaya.
Sempena dengan Hari Malaysia pada September ini, konsert tersebut adalah manifestasi langkah berterusan MPO untuk meningkatkan taraf muzik Malaysia melalui versatiliti MPO dan untuk masyarakat menghargai kepelbagaian legasi yang kita miliki.
MPO bakal dipimpin oleh Luqman Aziz yang merupakan konduktor bersekutu, pengarah muzik dan penggubah untuk Orkestra RTM.
Konsert ini bakal menyaksikan persembahan sulung artis-artis kelahiran Malaysia Timur di pentas DFP: vokalis Marsha Milan dan Velvet Aduk (Sabah), serta pemain sape Alena Murang (Sarawak).
Berketurunan Kadazan-Dusun, Marsha mempunyai pengalaman 15 tahun dalam industri muzik; merupakan finalis Anugerah Juara Lagu (TV3) tahun 2022 dan 2023 serta pernah melahirkan dua album studio dan pernah berkolaborasi dengan artis-artis terkenal.
Manakala Velvet Aduk pula adalah penyokong tegar muzik tradisional Sabah yang mana, lagu-lagu ciptaannya seperti Sumandak Sabah dan Oi Gaman telah mendapat jutaan tontonan di YouTube.
Sementara itu, Alena Murang pula sering mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui pelbagai kemenangan untuk muzik video dan filem etnik.
Bagi menyuntik kemeriahan pada malam konsert, antara susunan lagu yang akan dipersembahkan mereka ialah Gitu’an, Pemung Jae, Sumandak Sabah, Insan Tadau, Panaon, Aramaitii, Panaon, Bejugit Betanda Menari dan lagu-lagu rakyat seperti Meno, Midang Midang, Jambatan Tamparuli, Put Burui, Datun Julud dan Puteri Santubong.