Semakin berusia, saya ikhlaskan hati menutup aurat - Raja Azura

Semakin berusia, saya ikhlaskan hati menutup aurat – Raja Azura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan selebriti terkenal, Raja Azura, 51, mendedahkan, perubahan untuk dirinya kini berpenampilan berhijab bukan paksaan sesiapa sebaliknya itu adalah pilihannya sendiri.

Menurut Raja Azura atau nama sebenarnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, pilihan itu juga dilakukannya selepas pulang dari mengerjakan ibadah haji sebelum ini.

Malah, katanya, mengingati bahawa usianya juga bukan semakin muda, tindakan memakai hijab adalah yang paling bertepatan demi menginsafi diri.

“Jangan buat kerana nak kelihatan cantik, tapi lakukan kerana Allah. Apabila sudah sampai waktu, kita berubah menjadi seorang yang lebih baik.

“Kita semua makin lama makin berusia. Saya tidak seperti orang lain yang mendapat mimpi dibakar sebelum memilih untuk bertudung.

“Saya lakukan dengan ikhlas kerana Allah dan sedar menutup aurat ini adalah tanggungjawab dan wajib kepada diri saya,” katanya.

Jemu dengan imej sebelum ini, pelakon filem Tiga Janda Melawan Dunia itu meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buatnya agar kekal istiqamah dan tidak cepat menghukum mereka yang belum bertudung.

“Saya sudah melalui macam-macam perkara dalam hidup ini. Kita semua melalui proses kehidupan, tidak kira baik atau buruk. Kalau ada dalam kalangan kita belum bertudung, jangan menyalahkan individu itu kerana mereka juga milik Allah.

“Setiap orang akan melalui pelbagai dugaan dalam hidup. Jika tiada ujian, tidak mungkin mereka mampu menjadi seorang yang matang.

“Jadi, kena selalu berfikiran positif untuk orang lain. Belum tentu yang sudah bertudung itu hatinya baik, jadi perbetulkan diri sebelum nak istiqamah,”katanya.

Selain itu, ibu tunggal kepada dua anak itu turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mengerjakan haji buat kali kedua bersama ibunya, pada Julai lalu.

Kata pengacara sensasi ini, jemputan mengerjakan rukun Islam kelima itu adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka selain juga kejutan kepada ibunya yang sudah berada di Tanah Suci lebih awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN