KUALA LUMPUR : Penyanyi Indonesia, Syahrini, 44, selamat melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya dengan suami, Reino Barrack, semalam.
Menariknya, cahaya mata sulung mereka itu juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan Syahrini iaitu 1 Ogos.
Perkara itu diumumkan Syahrini menerusi satu hantaran di Instagram dan dijangka bayi tersebut berjantina perempuan berdasarkan warna merah jambu pada foto yang dikongsi.
“Terima kasih Ya Rabb, bertambahnya usia tahun ini bertepatan dengan kelahiran buah hati kami.
“Penantian yang berhujung indah. Pencapaian dari kesabaran dan bakal tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu semata-mata atas reda dan izin Mu.
“Terima kasih untuk suami ku yang luar biasa memanjakan dan sentiasa sedia mendampingi. Welcome to fatherhood imam terbaik,” tulisnya.
Penyanyi dan usahawan terkenal itu bernikah di Jepun pada Februari 2019.