JAKARTA: Setelah lama berdiam diri, selebriti terkemuka Indonesia, Raffi Ahmad, akhirnya membuat pengakuan bahawa anak perempuannya yang bernama Lily sebenarnya adalah anak angkat yang diambil daripada sebuah rumah anak yatim.
Menurut Raffi, dia dan isterinya, Nagita, mula jatuh hati pada seorang bayi perempuan yang dilihat mereka sewaktu berada di rumah anak yatim tersebut.
“Ketika itu, dia masih baharu sahaja dilahirkan. Pengetua yang menjaga rumah berkenaan memberitahu saya dan isteri bahawa terdapat seorang bayi perempuan yang mana ibunya seakan enggan menjaganya.
“Saya tak mahu bercerita lanjut sebab ia sensitif. Bukan kerana ibunya mahu membuang, tetapi wanita itu tidak mahu menjaganya. Jadi saya ambil bayi berkenaan dan menjaganya,”katanya dalam sebuah tayangan Youtube Merry Riana.
Menurut Raffi, dia dan Nagita tidak pernah merancang untuk mencari anak angkat sebelum ini namun kehadiran Lily seakan memberi sinar kebahagiaan buat keluarga mereka tanpa disangka.
“Bagi Nagita, jika mahu menjaga seorang anak perempuan itu, dalam Islam harus dipertimbangkan beberapa perkara. Tetapi saya fikir, jika anak itu ditinggalkan di ruamh anak yatim berkenaan, apa nasibnya esok, minggu depan, bulan depan dan seterusnya?
“Kalau ibunya tidak mahu, ya kita yang jaga. Yang penting, niat kita baik, kita jaga dia,”katanya.
Dalam pada itu, Raffi berkata, dia dan isteri sebenarnya sudah lama mengimpikan anak perempuan selain pernah memohon di malam lailatur qadar supaya Allah SWT mengurniakan hasratnya itu.
“Tidak tahu kenapa, tetapi ada satu malam itu, setelah berdoa, esoknya anak ini ada. Jadi waktu itu, saya masih ingat, bulan puasa. Datang salah seorang teman adik Gigi, dia memiliki sebuah rumah anak yatim di Bali.
“Jika tidak salah, namanya Ibu Magda. Dia yang beritahu mengenai anak ini,”katanya.
Bagaimanapun, kata Raffi lagi, untuk menguruskan segala dokumentasi mengenai anak tersebut dia menjalani proses yang tidak mudah.’
Ini kerana, dia perlu menyediakan pelbagai surat menyurat dan memenuhi syarat-syarat tertentu bagi memastikan proses itu melalui proses perundangan yang sah.
Untuk info, Raffi berkahwin dengan Nagita pada 17 Oktober 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Rafathar dan Rayyanza sebelum kemudian hadirnya Lily.