Pernah alami kejadian mistik, Ain Sufia amal doa sebelum berlakon - Utusan Malaysia

Pernah alami kejadian mistik, Ain Sufia amal doa sebelum berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelakon dan aktivis teater, Ain Sufia, mengakui pengalaman mistik yang pernah dilaluinya semasa menjalani pementasan teater bangsawan sebelum ini menyebabkannya lebih berhati-hati ketika diberi peluang yang sama kini.

Memegang watak Dang Anum pementasan teater Dang Anum (The Untold Story), Ain atau nama sebenarnya Nurul Ain Othman berkata, doa menjadi amalan akrabnya saat memulakan sebarang pementasan teater bangsawan bagi menghindari kejadian tidak diingini.

“Saya ambil pengajaran untuk berjaga-jaga kali ini. Sebelum berlakon saya akan berdoa.

“Sebab pernah alami termasuk melihat kejadian menimpa rakan pelakon dahulu. Apabila dia melakonkan sesuatu watak itu kemudian terbawa-bawa dalam kehidupannya sehingga habis hayat. Jadi saya tak nak berlaku begitu.

“Walaupun sekadar latihan, tetapi kita akan hari-hari bercakap. Itu yang membuatkan saya sangat takut untuk kali ini,”katanya.

Bagaimanapun, kata Ain, dia juga mengambil langkah berserah kepada Allah SWT selain berjaga-jaga khususnya ketika membawakan watak Dang Anum ini.

“Setiap kali latihan ataupun persembahan saya akan berdoa, ‘Ya Allah ya tuhan ku, Alhamdulillah, Kau kurniakan bakat ini untuk aku bekerja tetapi pisahkanlah ia dengan kehidupan peribadi.’

“Sepanjang di dalam kereta dan bersendirian, saya berdoa, ‘Ya Allah, aku jadi watak Dang Anum ini hanya untuk berlakon sahaja, habis latihan dan persembahan, aku adalah diri aku.’

Ketika pergi dan balik daripada latihan, saya akan ambil masa 10 minit untuk berdoa,”katanya.

Ditanya sama ada adakah dirinya bimbang jika terkena badi, bekas peserta Bintang Mencari Bintang ini tidak menolak selain enggan watak tersebut menjadi realiti di dalam kehidupannya.

“Orang ini (Dang Anum) dia wujud dan pernah hidup. Saya takut ia akan memakan diri dengan kisah itu juga.

“Dang Anum ada masalah dengan pembesar dan mengalami sakit ketika bersalin, jadi saya takut sangat serta tak mahu hal yang sama berlaku kepada diri sendiri.Saya akan selalu beristighfar,”ujarnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai pementasan teater tersebut, Ain berkata, antara cabaran yang perlu dihadapinya adalah berlakon dengan pelapis baharu yang mempunyai jarak perbezaan umur antara mereka.

“Sebenarnya, agak kekok juga, tapi kita kena profesional. Mereka takut-takut tapi saya faham mereka sebenarnya menghormati kami.Watak ini saya pernah bawa tahun lalu jadi untuk kali ini saya hanya perlu menambah baik,”katanya.

Teater Dang Anum (The Untold Story) adalah projek pementasan teater melalui GSSK di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September 2024 bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Teater ini turut akan menampilkan barisan pelakon seperti, Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish dan Zalif Sidek.

Tiket akan mula dijual pada 25 Ogos 2024, dengan harga antara RM25 hingga RM65.

Untuk maklumat lanjut ikuti laman sosial The Redholah di Instagram, Facebook, dan TikTok, atau hubungi di talian 014-3685233 atau e-mel ke [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya