Peluang berbakti, rai veteran ATM - Utusan Malaysia

Peluang berbakti, rai veteran ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Liza Hanim, 45, mengakui, peluang untuk membantu wira dan wirawati negara menerusi acara hiburan juga merupakan satu bentuk sumbangan yang dapat dilakukan oleh anak seni sepertinya.

Menurut Liza, ia dizahirkan menerusi penglibatannya sempena Majlis Makan Malam Amal Meraikan Bintang yang akan berlangsung di Dewan Perkasa Wisma Perwira pada 24 September ini, pukul 8 malam.

Majlis anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dan Yayasan Veteran ATM itu juga akan menyaksikan Liza bergandingan dengan penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Jamal Abdillah.

Berkongsi mengenai perkara tersebut, Liza menganggap, ini merupakan peluang buatnya untuk berbakti kepada perajurit tanah air dengan caranya tersendiri.

“Bagi saya, acara ini bukan hiburan semata-mata. Sebaliknya ini adalah usaha untuk beri semula kepada masyarakat, terutama golongan veteran ATM yang banyak berjasa kepada negara.

“Apalah sangat sumbangan saya ini jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang mereka lakukan demi kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Kebetulan majlis itu juga diadakan selepas sambutan Hari Malaysia.

“Justeru, secara tidak langsung ia membangkitkan semangat patriotik dalam diri ini,” katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran majlis itu di Wisma Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di ibu negara baru-baru ini.

Tambah Liza, persembahan pada majlis makan malam tersebut juga adalah antara yang dinantikan kerana dia juga sudah lama tidak berpeluang berkongsi pentas dengan Jamal.

“Apa yang membuatkan saya teruja adalah ini kali kedua saya berkongsi pentas dengan Jamal. Kali terakhir adalah pada 2004 iaitu dua dekad lalu ketika kami menjayakan malam kemuncak Anugerah Skrin.

“Masih saya ingat, ketika itu kami mendendangkan lagu dipopularkan Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Bagaikan Sakti,” katanya.

Selain itu, penyanyi ini turut berkongsi ,mengenai pengalamannya membuat persembahan di kem tentera buat pertama kali ketika usianya baru meningkat remaja.

“Ketika itu saya bersama beberapa artis senior seperti Datuk Jeffrydin dan Noraniza Idris diundang membuat persembahan di kem tentera di Port Dickson. Saya berusia 18 tahun dan baru saja muncul dengan album sulung.

“Apabila saya tengok ramai askar lelaki menjadi penonton, saya jadi takut. Apabila saya naik pentas, mereka bersorak. Apabila difikirkan balik, itu adalah cara mereka redakan tekanan kerana rutin latihan mereka yang lasak,” katanya.

Sementara itu,Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus berkata, penganjuran majlis makan malam sebegitu diharapkan dapat menarik lebih ramai menyumbang untuk tabung veteran ATM.

“Tidak kisah mereka beli meja ataupun menyumbang terus, kami harap majlis makan amal ini meraih sokongan, bahkan JHEV sudah merangka beberapa acara bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan 2024.

Kami berbesar hati jika ada individu dan syarikat korporat dapat bersama-sama membantu veteran ATM. Hasil kutipan akan digunakan bagi membantu veteran ATM tidak berpencen dan uzur. Ini meliputi keperluan kebajikan seperti lampin pakai buang dan susu warga emas.

Ditanya mengenai sasaran kutipan, Zambery menjangka mampu mengutip sebanyak RM2 juta sumbangan melalui penganjuran majlis makan malam amal berkenaan.

“Sudah pasti kami sasarkan jumlah tertentu mengikut kapasiti ataupun aktiviti yang dilaksanakan seperti larisan amal.

“Kami sasarkan sumbangan diterima lebih kurang RM2 juta. Sebenarnya memang tidak cukup untuk keseluruhan bagi menampung keperluan kebajikan kepada veteran. Tetapi,sasaran yang ditetapkan diharap boleh membantu meringankan beban mereka,” ujarnya selepas sidang media di Wisma ATM di ibu negara baru-baru ini.

Jelas Zambery, pemilihan Jamal dan Liza juga dilihat bertepatan berikutan kedua-duanya juga mempunyai prestasi dan pengaruh cemerlang dalam bidang seni.

“Kami tak ragu-ragu dengan pemilihan ini. Datuk Jamal cukup dikenali ramai selain vokal emasnya mampu menarik penonton. Liza pula merupakan seorang penyanyi berkredibiliti serta mempunyai rangkaian lagu popular,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya