KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti terkenal, Rozita Che Wan, 53, atau Che Ta, menasihatkan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, supaya menyediakan pembantu rumah bagi memberi keselesaan dan kemudahan buat bakal isteri yang namanya masih menjadi rahsia.
Menurut Che Ta, ini kerana dia sedar anak lelakinya itu tidak mahir melakukan kerja-kerja rumah dan dia enggan menyusahkan bakal menantunya kelak untuk menguruskan rumah tangga seorang diri.
“Semuanya kerana silap saya sendiri yang meminta mereka tumpukan sahaja perhatian pada tugasan berkaitan sekolah, manakala urusan buat kerja rumah saya atau pembantu yang selesaikan.
“Kalau dah kahwin nanti saya tak yakin dia boleh tolong isterinya mengemas ataupun buat kerja di dapur sebab buang sampah pun dia geli. Jadi nak ringankan beban menantu saya nasihatkan dia ambil pembantu rumah kelak.
“Saya pun sejak kahwin dulu Zain (suami) ambil pembantu rumah untuk tolong saya. Tiada masalah pun, janji menantu ‘happy’, saya pun senang hati,” katanya.
Pada masa sama, pelakon Rombongan Makciks ke Dataran Merdeka itu berbesar hati andai anak menantunya sedia tinggal di rumahnya selepas berkahwin.
“Saya tak kisah kalau mereka nak tinggal asing tapi duduk di rumah saya untuk permulaan membina kehidupan baru pun saya tak kisah walaupun ada orang cakap jangan duduk dengan mentua.
“Di rumah saya sekarang tak sampai 10 orang termasuk mak mentua. Kalau mereka mahu tinggal sekali, alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui pada pelancaran Kempen Inilah Kita Astro, semalam.
Terdahulu, Che Ta mendedahkan bakal merisik calon menantu untuk putera sulungnya, Ammar Effendy minggu depan yang juga disifatkan sebagai wanita baik, berpendidikan serta daripada keluarga mementingkan agama.
Pilihan anak bujangnya itu dikatakan seorang wanita berhijab, sederhana serta tidak gemar bermain media sosial.
Dalam pada itu, majlis pertunangan dan tarikh pernikahan yang dijangka dilangsungkan tahun depan hanya dibincangkan pada acara merisik.
Selain Ammar Che Ta, turut mempunyai dua lagi cahaya mata, Aniq Ezzra, 24, selain anak tunggal perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 10.