KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan Blues Gang, Ito Mohd, 73, meluahkan pandangan agar penyampai dan stesen radio tidak terlalu mengikut kehendak pendengar sebaliknya bersikap adil terhadap golongan pemuzik dan penyanyi yang membawa genre lagu sepertinya.
Menurut Ito, pihak terbabit seharusnya menjadi pemula dalam membawakan muzik agar dapat menyajikan karya muzik dengan lebih adil dan tidak cuma mengikut selera pendengar.
“Selalunya, penyampai radio ini mendengar cakap peminat, apa peminat mahu dan sebagainya. Tetapi, pada saya, kita yang menentukan peminat nak macam mana. Sepatutnya begitu.
“Kalau asyik minta dangdut dan Hindustan saja, macam mana? Asyik itu saja. Ini pendapat saya sebagai orang lama. Kena selari juga,” katanya.
Menurut Ito, setiap karya bukan hanya sekadar hiburan, sebaliknya perlu datang dengan beberapa nilai dan elemen.
“Kita mendengar lagu bukan sekadar berjoget saja. Kena ada nilai estetika, pengajaran, berkaitan agama dan sebagainya. Kalau kita lihat budaya pop, ada blues, rock, raggae dan jazz. Ini budaya pop dunia yang merangkumi empat genre muzik ini.
“Kumpulan Sweet Charity dulu pun genre rock, tapi ada elemen-elemen blues juga. Kami berbesar hati apabila ada generasi baharu yang nak memperjuangkan blues,” katanya.
Dalam pada itu, Blues Gang akan beraksi di Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, esok.
Konsert tersebut bagi meraikan lima dekad Blues Gang dan pembabitan mereka dalam bidang seni.
Menurut Ito, segala persiapan telah dilakukan sebagaimana yang dirancang dan pihaknya mendoakan persembahan pada malam esok berjalan dengan lancar.
“Kali terakhir muncul dalam konsert berskala besar pada Konsert 2 Raksaksa Reunion pada 2011, namun bersama Sweet Charity.
“Ini bukan sahaja eksklusif Blues Gang, malah jarang berlaku selepas hasilkan 14 album. Saya sendiri, secara solo pun memiliki 20 album. Justeru, ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama peminat dan penggemar blues,”katanya.
Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan produksi, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik.
Sementara itu, konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu akan menyajikan lagu-lagu hits Blues Gang antaranya Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti.