KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk M Nasir, membuat kejutan apabila menyanyikan lagu berjudul Allah Selamatkan Kamu khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena meraikan ulang tahunnya yang ke-77 hari ini.
Kejutan itu dilakukan oleh penyanyi bertaraf legenda hidup itu semasa berlangsungnya Konsert M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
“Sebelum saya nyanyikan sebuah lagu hadiah kepada PMX, saya ingin menyanyikan lagu ini dahulu. Allah Selamatkan Kamu yang dicipta oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Selamat hari lahir buat PMX,”katanya semasa berada di pentas persembahan.
Sementara itu, semasa lagu ulang tahun didendangkan oleh M Nasir, penganjur Icon Entertainment yang diwakili oleh Iman Tang, membawa masuk pulut kuning sebagai tanda mata buat Anwar.
PMX turut dilihat menggayakan persalinan lengkap bak seorang pendekar semasa hadir menonton konsert tersebut.
Difahamkan, penganjuran konsert tersebut turut menggalakkan para peminat dan penonton untuk hadir menyaksikan persembahan dengan tema Melayu Tradisional.
Selesai menyanyikan lagu hari lahir, M Nasir kemudiannya menghadiahkan lagu Phoneix Bangkit buat Anwar sebagai tanda simbolik dan penghargaan buat beliau.
Konsert Datuk M N45IR Cipta menyaksikan penyanyi ini bukan sahaja membawakan lagu-lagu dari album solo miliknya tetapi keupayaannya menghiburkan ribuan penonton dengan lagu-lagu ciptaan magisnya.
Ia termasuk lagu-lagu yang diberikan kepada Search, Alleycats, Awie, Seha, BPR, Kristal, Def Gab C dan Rahim Maarof.
Persembahan M Nasir telah diiringi dengan 25 pemuzik profesional yang turut menyuntik energi luar biasa sepanjang konsert itu berlangsung.