SEOUL : Aktor terkemuka Korea Selatan, Lee Minho meluahkan hasrat dan keinginannya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri meskipun sedar ramai menganggap dia seakan tidak mahu berumah tangga.
Menurut pelakon itu, dia perlu mencari sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedang dilakukannya sekarang dan ia merujuk kepada peralihan fasa baharu dalam kehidupannya di masa depan.
“Apabila saya memandang ke hadapan untuk 15 tahun yang akan datang, saya sedang berusaha untuk mencari sesuatu yang berlawanan.
“Ini mungkin berkaitan dengan perkahwinan atau mempunyai anak”, katanya dalam sidang media drama terbaharunya, Panchiko 2.
Lee Minho berkata, dia juga perlu memikirkan hal ini dengan lebih serius kerana dia merasakan sudah tiba masa untuknya mendirikan rumah tangga.
“Bukannya saya ingin berkahwin sekarang, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya merenung dan mempertimbangkan tentang perkahwinan dengan serius”, jelasnya.
Selain itu, pelakon drama The Heirs ini turut meluahkan rasa syukur atas kejayaannya dalam dunia lakonan.
Dia tidak menolak bahawa apa yang telah dicapainya sekarang adalah hasil usaha selama 18 tahun membina nama dalam industri lakonan di Korea.
“Saya sudah berada di industri lakonan ini selama 18 tahun sejak saya muncul dan saya sangat bersyukur atas segala-galanya yang telah menjadikan kerjaya saya stabil sehingga kini.
“Rasanya saya wujud sekarang kerana perkara-perkara tersebut,”ujarnya.