Hanya kerana video nyanyiannya tular, nama Ayish Malqan akhirnya dikenali oleh sebahagian besar peminat muzik tempatan.
Itu rezeki terpijak yang diraihnya kurang dua tahun yang lalu selepas menyanyikan lagu Ziana Zain sehingga tular di platform TikTok.
Menurut Ayish, kenangan tersebut tidak mungkin terpadam dalam ingatan memandangkan peminat mula
mengenalinya setelah video berkenaan mendapat respons luar biasa daripada para pendengar.
“Sebetulnya saya hanya hadir ke sebuah acara jelajah sebuah stesen radio. Mereka minta pengunjung untuk
naik ke pentas menyanyikan lagu 90-an. Disebabkan jumlah ada peserta yang lupa lirik dan sebagainya, mereka cari ganti.
“Tiba-tiba sahaja kawan-kawan menjerit nama Ayish dan saya diminta naik ke atas pentas. Memang saya
‘tapau’ lagu Setiaku Di Sini nyanyian asal Ziana Zain. Saya memang minat sangat dengan penyanyi tersebut dan tak sangka pula dapat sambutan baik,” katanya.
Menariknya, ada dalam kalangan peminat merakam video dan akhirnya tular di TikTok. Paling tak disangka,
video yang mendapat jutaan tontonan sehingga dia diundang oleh beberapa program hiburan stesen TV
termasuklah menjadi tetamu jemputan untuk program Meletop.
Menganggap itu merupakan rezeki buat orang biasa sepertinya, Ayish tidak dapat melupakan kenangan apabila mendapat tepukan gemuruh daripada peminat saat mula menyanyi dalam acara berkenaan.
“Baru nyanyi sebaris tapi peminat dah bersorak dan beri tepukan. Sampai habis menyanyi pun mereka masih
menjerit keriangan bila mendengarkan suara saya. Itu memang kenangan paling indah dalam hidup ini.
“Saya gembira apabila membacakan komen daripada peminat. Mereka memberikan kata-kata positif dan suka
dengan nyanyian. Itu sudah cukup menambahkan semangat untuk bergelar penyanyi,” tambahnya yang pernah
menyertai Konsert Jelajah Suria 90-an anjuran stesen radio Suria FM sebelum ini.
Terkini, Ayish baru sahaja tampil dengan single baharu berjudul Cinta Di Cintai yang baru sahaja dilancarkan pada 12 Julai yang lalu.
Menggunakan sepenuhnya khidmat Man Senoi sebagai penerbit naskhah ini, ia adalah gabungan idea NurRasa
dan Sheikh Qalam yang bertindak selaku penulis lirik dan komposer yang diterbitkan oleh Fillea Music X Sony Music Malaysia.
Jelasnya, dia terbuka hati menerima tawaran menyanyikan Cinta Di Cintai kerana lagu balada ini mengandungi bait-bait lirik yang puitis dan menyentuh sanubarinya selain melodi indah yang susun dengan baik.
“Saya gembira apabila dapat bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman luas dalam bidang muzik.
Banyak ilmu baharu yang diperoleh saat mula masuk ke studio rakaman. Setiap patah perkataan mempunyai
maksud dan perlu disampaikan dengan cermat.
“Untuk video muzik pula telah dilaksanakan di Jakarta, Indonesia. Ini juga adalah pengalaman pertama saya dan dapat bekerja dengan kru berpengalaman.
“Sudah tentu semuanya dilakukannya sebaik mungkin untuk memberi kepuasan kepada pendengar,” katanya yang mengimpikan untuk berduet bersama Ziana Zain ataupun Misha Omar.
Jelasnya, kedua-dua mereka mempunya aura dan karisma tersendiri dan sangat dihormati oleh rakyat Malaysia.
Dia juga sangat mengagumi cara mereka berdua menyanyi yang membuatkan dia senantiasa ternanti-nantikan
buah tangan terbaru daripada mereka.
“Saya mahu menjadi seperti mereka satu hari nanti. Semoga Cinta Di Cintai juga akan mampu membawa nama
saya ke persada muzik tanah air seterusnya menjadi seperti mereka,” kata Ayish yang mengharapkan lagunya diterima baik oleh peminat.
Cinta Di Cintai telah pun dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai disemua pelantar digital. Video muzik pula boleh ditonton melalui YouTube Sony Music VEVO.